SERANGAN berdarah di London Bridge pada 4 Jun lalu sekali lagi memalit cemar pada kanvas suci Ramadan. Kedatangan bulan suci ini dinantikan bukan untuk menggandakan amalan kebaikan tetapi sebaliknya keganasan. Ironinya, keganasan dan kekejaman atas nama agama! Dorongan perlakuan kejam ini sebagaimana sebelumnya datang dalam pelbagai bentuk.  

Majalah Rumiyah, edisi Ramadan 1438 terbitan ISIS misalnya menyiarkan makalah oleh jurucakapnya, Abul Hasan al-Mujahir yang menyeru agar pembaca menggunakan Ramadan untuk 'memaksimumkan manfaat yang diterima pada hari pengadilan'.  

Selain itu, dalam rakaman video berbahasa Arab dan berdurasi 12 minit, Abul Hasan juga mendeklarasikan Ramadan sebagai bulan untuk kembali menggiatkan serangan di mana jua pun di samping menegaskan keperluan jihad untuk 'menghancurkan barat dan orang kafir'.

Umat Islam umumnya menyedari bagaimana tindak balas yang lazimnya diterima mereka akibat perbuatan kumpulan pengganas. Antaranya termasuklah tanggapan buruk terhadap agama mereka.

Islam yang pernah dianggap sebagai salah satu agama dunia yang berpengaruh kini direndahkan martabatnya. Islam hanya dianggap oleh banyak orang sebagai ideologi politik yang menjelikkan dan mengancam keselamatan dunia. Malah slogan Islam Agama Keamanan hanya menjadi bahan ejekan semata-mata.

Demikian pula label-label buruk yang diberikan kepada penganutnya. Meskipun hanya segelintir, iaitu yang telah menyelewengkan ajaran sebenar agama yang melakukan jenayah keganasan, umat Islam seluruhnya dipalitkan dengan dosa berkenaan.

Sungguhpun pula dasar-dasar luar dan campur tangan negara barat merupakan antara punca lahirnya kumpulan pengganas tersebut, namun agama dan ajaran Islam juga yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

Begitu juga agenda terancang dan pembohongan rapi pihak musuh untuk memerangkap serta membuktikan bahawa memang benar tanggapan buruk yang dilemparkan kepada agama serta umat Islam selama ini. Semuanya ini menzahirkan satu kenyataan. Ketakwaan, iaitu matlamat tertinggi yang mahu dicapai melalui ibadah puasa mendepani ujian sebenar lagi mencabar.   

Belum reda bebanan untuk menyatukan ummah yang kini hebat dilanda perpecahan bagi menentang keganasan global, umat Islam kini berhadapan dengan ujian yang tidak kurang getirnya. Krisis diplomatik yang dihadapi Qatar dengan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Yaman, Libya pro Saudi, dan Maldives menimbulkan kebimbangan serta persoalan tertentu.

Bagaimanakah dan apakah kesudahan krisis berkenaan? Apakah manfaat yang diperoleh musuh-musuh Islam terhadap krisis ini? Berjayakah usaha yang diambil negara seperti Turki untuk meredakan ketegangan yang timbul?  

Walau apa pun juga situasinya, umat Islam seharusnya memanfaatkan limpahan rahmat dan keberkatan Ramadan.

Pada saat-saat seperti inilah bermaknanya doa yang tulus agar ALLAH SWT menghapuskan persengketaan malah sebaliknya memperkukuh ikatan dan menyuburkan kasih sayang antara sesama  insan beriman.  

Mudah-mudahan juga ALLAH SWT sentiasa memberikan perlindungan kepada ummah seluruhnya; dalam dan luar negara serta menunjukkan jalan keluar bagi setiap ujian yang ditimpakan atas mereka.

Hal ini sebagaimana difirmankan oleh-Nya yang bermaksud; “dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH (dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya ALLAH mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyulitkannya)." (Surah Al-Talaq 65:2).