SALAH satu dari ciri akhir zaman, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis, adalah kehilangan ilmu dengan kehilangan (kematian) ahlinya.

Satu demi satu ahlinya pergi dan tiada yang menggantikannya sehinggakan akhirnya kejahilan dan kekeliruan membanjiri umat.

Pada masa itu tidak lagi dikenali siapa ahli dan siapa yang bukan ahli, dan dalam keadaan begitu yang bukan ahli dinaikkan manakala yang ahli dinafikan kedudukannya. Ia adalah suatu keadaan yang gawat yang telah menimbulkan krisis kepimpinan yang parah.

Ia adalah suatu keadaan di mana umat Islam dipimpin oleh para pemimpin palsu, yakni mereka yang tidak memiliki kelayakan ilmiah dan akhlakiah untuk memimpin, akan tetapi telah diangkat memimpin oleh para pengikut yang jahil dan keliru.

Sebagai pemimpin mereka memberikan pandangan dan pendapat, meluluskan dasar dan memberikan perintah. Akan tetapi yang palsu tetap palsu. Pemimpin palsu hanya akan menjerumuskan mereka yang dipimpin ke arah kepalsuan.

Tanpa ilmu yang benar yang memberikannya daya pertimbangan akhlakiah, dia berada dalam kesesatan, dan dia hanya akan memimpin manusia ke arah kesesatan. Itulah keadaan umat Islam pada hari ini.

Hanya dengan ilmu yang benar sahaja manusia akan terpimpin ke arah jalan yang benar. Pemimpin yang benar adalah seorang yang dikurniakan ilmu yang benar, dan dia dikenali dan diletakkan pada tempat yang layak baginya oleh para pengikutnya.

Jika dia tidak dikenali, ataupun dia dikenali akan tetapi tidak diletakkan pada tempat yang layak baginya maka umat telah mensia-siakan sesuatu yang amat penting iaitu kepimpinan yang benar.

Maknanya kepimpinan yang dimiliki oleh umat itu melambangkan sifat dan aspirasi umat itu secara keseluruhannya. Kalaupun ada sekalipun pemimpin yang baik dalam kalangan mereka, dia tidak akan dinaikkan memimpin kalau rata-ratanya tidak mengenali kebaikan yang ada padanya.

Yang akan naik memimpin adalah seorang yang sesuai dengan selera mereka yang dipimpin. Maka pemimpin yang korup naik kerana yang dipimpin itu juga rata-ratanya adalah korup sepertinya.

Yang korup adalah diri manusia. Persoalan ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang lain. Dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila daging itu sihat maka baiklah seluruh badan, dan jika ia sakit maka rosaklah seluruh badan.

Yang demikian itu adalah hati (kalbu). Yang merosakkan diri adalah ilmu yang rosak, yakni fahaman yang salah dan mengelirukan mengenai diri, agama, akhlak, ilmu, kehidupan, dan kebahagiaan.

Maka dengan sebab itu pendidikan amatlah penting dalam Islam. Hanya melalui pendidikan kerosakan itu dapat diperbetulkan, dan hanya melalui pendidikan yang betul manusia yang baik dihasilkan, dan dari kalangan mereka sahaja akan muncul pemimpin yang baik.