TIADA yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu melainkan menyaksikan sendiri anaknya dihumban hidup-hidup ke dalam api yang marak membakar. Amat ngeri membayangkannya, namun itulah yang berlaku kepada ibu-ibu di perkampungan Dha Gyi Zar (Rabaliya), Rakhine, Myanmar tanggal 13 November lalu. 

Tragedi menghiris hati seumpama ini hanyalah mewakili ribuan kisah kezaliman dan penindasan tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di Rakhine, utara Myanmar sejak berpuluh tahun yang lalu. Antara yang paling ketara termasuklah pewujudan Citizenship Act 1982 yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara.

Lalu jadilah mereka rakyat malang yang tidak bernegara! 

Sejak tarikh itu, penyeksaan dan pembunuhan etnik Muslim Rohingya tidak pernah ada noktahnya. Insiden terbaru yang menyaksikan pencabulan hak asasi secara sistematik saban hari di Rakhine dilaporkan bermula pada 9 Oktober dan berlangsung sehingga kini.  

Bermula tarikh tersebut sehingga 20 November, Burmese Rohingya Organisation yang berpangkalan di United Kingdom merekodkan anggaran pencabulan tertentu misalnya kematian sebanyak 428, perkosaan 192, penangkapan 440, keganasan fizikal 160, dan pembakaran rumah serta bangunan 1,780. 

Sejumlah kecil negara, termasuk Malaysia menunjukkan kebimbangan dan keprihatinan besar. Namun dunia umumnya membisu seribu bahasa.  

Barangkali disebabkan tiada negara Barat yang terlibat. Atau juga disebabkan kepentingan tertentu. Sedangkan situasi yang mengancam nyawa dan kehidupan etnik Rohingya kini lebih daripada mencukupi untuk menepati pentakrifan genosid atau penghapusan bangsa yang diberikan dokumen antarabangsa seperti Artikel II UN Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide (CPPCG) 1951.  

Harapan menggunung etnik Rohingya terhadap ikon demokrasi dan juga pemenang Hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi untuk menamatkan penderitaan mereka ternyata meleset. Pemimpin de-facto Myanmar itu jelas enggan tunduk pada tekanan antarabangsa dan mengelak untuk menjalankan penyiasatan secara telus terhadap pencabulan hak asasi oleh tentera di Rakhine. 

Harapan yang tinggal bagi kumpulan minoriti yang kini sudah tentulah terhadap saudara seagama mereka di seluruh dunia, khususnya Malaysia.

Justeru, Malaysia sebagai anggota utama Asean dan OIC mesti mengetuai gemblengan usaha keras bagi memastikan penderitaan dan kezaliman terhadap etnik Rohingya ditamatkan dengan apa jua cara sekalipun. Antara langkah paling strategik yang boleh diambil Malaysia adalah bertindak menggesa negara-negara anggota Asean yang lain agar menggantung keahlian negara Myanmar.  

Bagi rakyat umumnya pula, tanpa mengira agama, bangsa dan kaum, mereka wajar memberikan sokongan terhadap apa juga bentuk bantahan kepada rejim pemerintah Myanmar. Tujuannya adalah untuk menyampaikan mesej bahawa dunia sedang memperhatikan tindakan kejam tidak berperikemanusiaan yang dilakukan mereka terhadap etnik Rohingya.  

Dunia juga tidak sama sekali membiarkannya tanpa diadili dan akan menjatuhkan hukuman keras yang setimpal. 

Umat Islam secara khususnya pula wajar menggunakan segala wadah yang dimiliki untuk menghulurkan bantuan termasuk melalui ibadah tertentu dan doa. Hal ini menepati peringatan Baginda Nabi SAW, “Sesiapa yang melepaskan satu bentuk kesulitan dunia daripada seorang Mukmin, ALLAH akan melepaskannya daripada satu kesulitan pada hari kiamat.  

Sesiapa yang memudahkan (urusan) orang yang berada dalam kesulitan, maka ALLAH Azza wa Jalla akan memudahkan baginya (kesulitan) di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aib) seorang Muslim, maka ALLAH akan menutup (keaiban)nya di dunia dan akhirat. ALLAH sentiasa membantu seorang hamba selagi hamba tersebut membantu saudaranya….” (Muslim).