TEKNOLOGI bukan sahaja memungkinkan sesuatu yang mustahil berlaku, malah mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan serta menjimatkan kos. Begitulah dimensi baharu dalam teknologi kewangan yang memaksa model perniagaan baharu dicetuskan seiring revolusi industri 4.0 yang melanda abad ini. Pembangunan teknologi sekali gus memaksa paradigma di ufuk ke jangkauan pelbagai kemungkinan dan kawalan agar risikonya dibendung atau sekurang-kurangnya berada dalam radar jangkaan.

Terma fintech kini makin popular dalam enjin carian di laman sesawang. Bagi yang belum memasukkannya ke dalam kamus hidup, bolehlah mula mengenali fintech kerana ia merupakan peluang dan masa depan perniagaan serta kewangan. Fintech (singkatan perkataan bahasa Inggeris: financial technology) atau tekno-wang merupakan satu terma baharu yang menjelaskan tentang penggunaan teknologi dalam urus niaga kewangan.

Lanskap kewangan hari ini dilanda oleh hambatan teknologi yang mengubah seluruh ekosistem, malah sebahagian mengatakan bahawa pemain-pemain utama industri sekarang akan kehilangan fungsi tradisinya jika gagal ber-kembang mengikut perubahan ini. Menurut kajian, 20 peratus penawar perkhidmatan kewangan semasa (termasuk pentadbiran kewangan pusat) mempunyai risiko langsung tekno-wang. Tidak terkecuali dari aspek peluang pekerjaan generasi akan datang juga bakal turut berubah. Inovasi tekno-wang memperkenalkan 11 kluster baharu bagi melengkapi enam kluster rentas kewangan tradisi iaitu insurans, deposit dan pinjaman, pembiayaan dana, pengurusan pelaburan, provisi pasaran dan sistem pembayaran.  

Berdasarkan kajian terhadap impak tekno-wang Asia pada Ogos 2017, syarikat daripada China berurusan dalam tekno-wang (melibatkan urus niaga transaksi pembayaran bernilai AS$140 juta) diikuti syarikat daripada India (AS$123 juta - transaksi pembayaran), Australia (AS$80 juta - pembiayaan perniagaan atau B2B) dan Singapura (AS$50  juta - insurans) (kajian oleh KPMG International, data disediakan oleh PitchBook). Malaysia yang mengungguli carta celik IT (teknologi maklumat) mempunyai potensi yang sangat besar dalam tekno-wang.

Urus niaga yang dulunya tidak pernah terfikir, kini mendominasi industri seperti skim biayaan orang ramai (dikenali sebagai crowdfunding; dana dikumpulkan daripada orang ramai sama ada untuk kegunaan perniagaan, wakaf atau derma bakti dan dialirkan kembali kepada orang ramai) dilakukan melalui internet; merupakan segmen tekno-wang yang paling popular dan mempunyai potensi yang tinggi untuk guna tenaga generasi muda dan peluang perniagaan.

Wajah-wajah industri telah berubah. Perkara yang sama berlaku dalam peruncitan, pembidaan, pembiayaan, penyewaan, perkhid-matan, penerbitan, penghantaran, pembaikpulihan, makanan, per-hotelan dan banyak lagi industri yang menggunakan teknologi dan transaksi atas talian.

Tekno-wang menakluki model perniagaan tradisi agar bersedia mencabar rekayasa dan daya cipta baharu untuk terus bernilai saing atau hilang ditelan zaman. Dijangkakan pada tahun 2020, platform teknologi berupaya menyediakan sebuah bandar pintar, pemanduan kawalan robotik, sistem berasaskan analisis terjangka (predictive analytics) dan teknologi berkecerdasan manusia.

Sudah pasti kebebasan, kemudahan, kecekapan dan keberkesanan pergerakan dana dan maklumat secara maya dalam industri berasaskan tekno-wang memudahkan banyak pihak. Bagi kaum Muslimin, garis panduan syariat perlu diutamakan dalam menghadapi cabaran dan risiko tekno-wang.

Unsur-unsur melibatkan penindasan, diskriminasi, ketidakpastian (gharar), kezaliman, monopoli dan penyalahgunaan perlu sentiasa dijadikan perisai transaksi dan urus niaga tekno-wang kerana garis umum syariat ini merupakan pengukur kepatuhan dan tadbir urusnya.