AKHIR-AKHIR ini banyak kedengaran kemelut perbezaan pandangan dalam kalangan tokoh-tokoh agama, disahut nyaring oleh lisan para pengikut masing-masing sehingga kadangkala mengheret kepada perbalahan yang parah.

Apabila ditambah amarah tidak terkawal, perbalahan ini boleh membawa kepada persengketaan yang memecahbelahkan.

Dalam menilai perbezaan pandangan ini, ada berpendapat bahawa khilaf dan perbezaan pandangan antara kelompok manusia adalah perkara yang fitrah dalam kehidupan.

Ia malah merupakan sebahagian dari ciri-ciri ciptaan ALLAH SWT yang menjadikan makhluk-Nya dengan pelbagai bentuk perbezaan. Antara hujah-hujah yang diketengahkan bagi menyokong pandangan ini ialah:

Pertama, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika Nabi Adam AS bakal dicipta ALLAH, para malaikat mempersoalkan tujuan penciptaan Adam dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah.

“Ketika Tuhan mu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi.” Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan di muka bumi orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah..” (Surah Al-Baqarah : 30). Ini merupakan petanda awal dari al-Quran bahawa manusia sememangnya suka berbalah-balahan.

Kedua, sejarah merakamkan pelbagai bentuk pertentangan dan persengketaan antara kelompok manusia sepanjang kehidupan manusia yang melibatkan peperangan dan pembunuhan.

Ketiga, kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang ilmu menggambarkan bahawa terdapat perselisihan pandangan yang banyak dalam kalangan manusia.

Walaupun kelihatan kukuh, hujah-hujah diketengahkan di atas harus dinilai dengan lebih teliti supaya ia tidak dijadikan asas mereka yang berbalah dan berkhilaf untuk terus bersengketa berdasarkan premis bahawa khilaf adalah fitrah kemanusiaan.

Malah, sekiranya dianalisis lebih mendalam, hujah yang berpandangan sebaliknya adalah lebih kukuh, iaitu hakikat bahawa manusia pada fitrahnya lebih cenderung untuk bersetuju dan dan bersatu. Asas kepada hujah ini adalah seperti berikut:

Pertama, di samping perbalahan dan perselisihan, sejarah manusia juga merakamkan banyak usaha dan aktiviti dijalankan atas nama kerjasama, kesatuan fikiran dan persepakatan. Pelbagai bentuk tamadun dan peradaban terbangun hasil ciptaan manusia. Sekiranya fitrah manusia adalah perbalahan dan perpecahan, sudah pasti tidak banyak hasil peradaban tinggi yang terhasil dalam sejarah.

Kedua, dalam sejarah kemanusiaan, jangka masa manusia hidup dalam keadaan aman, sejahtera dan bersatu adalah lebih lama berbanding tempoh masa mereka bersengketa. Pada zaman Rasulullah sendiri, peperangan dan perbalahan hanyalah sebahagian kecil dari episod kehidupan Baginda yang amat panjang.

Ketiga, al-Quran menegaskan tentang kepentingan kesatuan yang merupakan fitrah kepada kehidupan ketundukan kepada Tuhan. “Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Al-Imran : 103).

Keempat, adanya konsep ijmak sebagai salah satu sumber hukum Islam menggambarkan bahawa fitrah manusia cenderung untuk mencapai persetujuan dalam pandangan manusia.

Berdasarkan pandangan di atas, bolehlah disimpulkan bahawa walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, bukanlah satu fitrah yang harus dipertahankan, jauh sekali dijadikan asas kepada perpecahan yang berterusan.

Malah sekiranya diteliti semangat yang dibawa al-Quran berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata al-Quran sentiasa menyarankan manusia supaya bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu. Malah prinsip tauhid sendiri mencerminkan kepentingan kesatuan yang harus diterjemahkan dalam kehidupan manusia.

Yang paling penting untuk dipegang dalam hal yang berkaitan dengan perbezaan pandangan ialah prinsip dan adab dalam berkhilaf. Antara prinsip dan adabnya ialah mengutamakan dalil dan hujah berbanding emosi, memahami keutamaan dan cabang dalam isu-isu yang diperselisihkan, berlapang dada atas perbezaan yang bersifat cabangan sesuatu perkara yang menjadi pertentangan, menjauhi sikap taasub terhadap kelompok, menekankan keikhlasan dalam mencari kebenaran dan mengadakan dialog dengan cara terbaik dan rasional.

Sekiranya adab-adab ini dijaga insya-Allah, kita bakal melihat lebih banyak kesatuan dan keharmonian dalam masyarakat berbanding persengketaan dan kekhilafan.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)

* Ruangan ini dikelola oleh Ikim