PERPADUAN umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran, bahawa para mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam masalah rantingan (juz’iyyat) dalam bidang fiqh dan usul fiqh yang sah.

Ini mencerminkan hikmah Tuhan Yang Esa yang mentadbir hal-ehwal manusia, zaman, dan negara yang berbilang.

Perbezaan antara mazhab dan intra-mazhab telah wujud ribuan tahun, di seantero dunia Islam. Secara keseluruhannya ia adalah dalam keadaan terkawal dan beradab, di mana ahli-ahli ilmu bersetuju untuk tidak bersetuju, atau rela untuk berbeza, iaitu agree to disagree dan agree to differ; dalam perkara-perkara rantingan.  

Semua pihak perlu insaf bahawa berkelahi dalam hal rantingan bukan dari ajaran agama. Sebaliknya Islam adalah Agama Persaudaraan, Agama yang Ramah, bahkan Agama Dialog antara para sarjana.

Imam al-Ghazali pernah menggagaskan bahawa, para alim ulama yang hakiki itu ketika berjumpa, seharusnya saling sayang-menyayangi dan cinta-mencintai. Ulama-ulama yang terdahulu diriwayatkan sarat dengan sifat persaudaraan, bertolong-tolongan dan saling senasib-sepenanggungan pada waktu suka dan duka.  

Imam al-Shafii pernah mengemukakan manifesto berikut: “Ilmu pengetahuan di kalangan tokoh-tokoh yang istimewa dan berfikiran tinggi itu, adalah dalam bersilaturahim yang sambung-menyambung.”

Ilmu pengetahuan tidak seharusnya dijadikan alat permusuhan yang merosakkan silaturahim. Hasan al-Basri pernah menyatakan, “Faqih itu tidak mengejek-ngejek dan tidak bermusuh-musuhan.”  

Bahkan dalam al-Quran sendiri ada peringatan: “Dia telah mensyariatkan bagi kamu mengenai al-Din... bahawa kamu tegakkan al-Din dan jangan kamu bersalah-salahan dalamnya” - al-Shura, 42:13.  Jelas bahawa dari zaman awal lagi, agama bukanlah faktor untuk berpecah-belah dan saling bertentangan.

Kajian secara menyeluruh menunjukkan bahawa empat mazhab Ahlus Sunnah memiliki kesimpulan yang sama dalam sekitar 75 peratus rumusan fiqh mereka. Ditambah lagi dengan unsur-unsur utama pandangan-alam Islam, kita sebenarnya memiliki titik-pertemuan yang cukup ampuh yang sedia menyatupadukan kesemua mazhab.  

Kesemua mazhab bersatu dalam mentauhidkan ALLAH, menegakkan undang-undang-Nya, dan mengabdikan diri kepada-Nya. Tidak ada langsung sebarang perselisihan yang tidak sefaham dalam perkara-perkara usul tersebut.

Malangnya tuduhan bidaah dan sesat terhadap perkara-perkara furuk yang sah - telah, sedang dan akan terus memecah-belahkan masyarakat Islam. Kata-kata celaan, cacian dan ejekan juga telah membawa kepada permusuhan sesama Islam.   

Sebenarnya perpaduan umat Islam dalam syariah yang satu amatlah mengagumkan para pengkaji Barat yang membandingkannya dengan nasib sekta-sekta agama Kristian yang saling bercanggah antara satu sama lain.  

Kekaguman mereka semakin meningkat kerana perpaduan syariah tercapai sedangkan dalam masa yang sama berlaku banyak pergolakan politik seperti pemberontakan terhadap saidina Uthman, perlawanan antara Ali dan Talhah dan Mu‘awiyah, peperangan oleh puak Khawarij, penaklukan Mongol, dan penjajahan Barat.

Tanpa adab kepada pelbagai aliran pemikiran yang sah, akan terdapat lebih banyak perpecahan dan perbantahan. Kajian Abdal Hakim Murad merakamkan bagaimana al-Tuwayjiri yang berasal daripada satu aliran Salafi dengan al-Albani, telah mengeluarkan kata-kata celaan dan cacian terhadap al-Albani kerana perselisihan faham dalam soal hijab. Tanpa adab dalam berbeza pandangan, timbullah penindasan terhadap hak sarjana lain- iaitu sikap totalitarian, kebiadaban, dendam, iri hati, dan dengki.


* Penulis ialah Felow Utama merangkap Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
* Ruangan ini dikelolakan oleh IKIM