PENJAGAAN akhir hayat adalah berkait dengan penjagaan kesihatan bagi pesakit-pesakit yang berada di penghujung hayatnya. Ia biasanya melibatkan pesakit-pesakit yang dilihat tiada harapan untuk pulih. Oleh itu, bagi pesakit-pesakit sebegini, pemberian terapi atau rawatan dilihat tidak bermanfaat, iaitu, apabila kesan baik yang ingin diraih daripadanya tidak dapat dicapai. Konklusi ini adalah berdasarkan kepada kajian empirikal yang mencukupi dalam  bidang perubatan. Dalam erti kata yang lain, ikhtiar doktor menyembuhkan pesakit berada pada tahap yang sia-sia (sudah tidak dapat memberikan manfaat kepada pesakit).

Pesakit yang tiada harapan pulih biasanya digambarkan dalam banyak keadaan, antaranya: (1) pesakit yang menghidapi penyakit pada tahap terminal, (2) pesakit yang dijangka akan mati dalam tempoh-tempoh tertentu, (3) pesakit yang mengalami kehilangan daya kognitif dan kesedaran yang teruk secara kekal, dan (4) pesakit yang mengalami mati otak.  

Bagi setiap keadaan, wujud keperluan untuk membuat keputusan-keputusan perubatan yang berkaitan. Contohnya, bagi kes pesakit yang berada pada tahap terminal, perlunya perbincangan bagi mencapai persetujuan berkenaan penggunaan ubat sedatif yang mengurangkan tahap kesedaran sekali gus mengurangkan kesakitan daripada penyakit yang dialami pesakit, tetapi pada masa yang sama memberi kesan kepada jangka hayat pesakit.

Senario lain yang boleh diambil perhatian ialah berkenaan pesakit yang mengalami kehilangan daya kognitif secara kekal, seperti persistent vegetative state (PVS). Bagi pesakit sebegini, keputusan berkenaan pemberian bantuan hayat perlu dibuat pada tahap tertentu, iaitu sama ada ia wajar diteruskan atau sebaliknya. Ini penting terutamanya apabila berlaku situasi seperti terhentinya fungsi jantung dan pernafasan secara sendiri.

Untuk mencapai sesuatu keputusan, family conference atau perbincangan (konferensi) dengan keluarga adalah suatu pendekatan perundingan yang mustahak fungsinya. Perbincangan ini melibatkan kakitangan hospital (doktor dan jururawat yang terlibat), pesakit dan ahli keluarga.

Dalam sesetengah keadaan, konferensi keluarga ini hanya dihadiri oleh doktor dan waris pesakit atas sebab-sebab tertentu, misalnya pesakit sudah tidak sedarkan diri.

Perbincangan ini berobjektifkan untuk membantu mencapai kata putus mengenai bentuk penjagaan kesihatan atau prosedur perubatan yang ingin dilaksanakan kepada pesakit pada penghujung hayatnya.

Dalam konferensi keluarga ini, pakar perubatan akan menerangkan situasi penyakit yang dihidapi oleh pesakit kepada pesakit sendiri dan ahli keluarga.

Penerangan ini termasuklah mengenai status penyakit, prognosis penyakit, iaitu kebolehsembuhannya serta pilihan-pilihan prosedur perubatan yang boleh dipertimbangkan.

Berbekalkan kefahaman ini, ahli keluarga dan pesakit sendiri dapat memberikan pandangan dan persetujuan secara kolektif mengenai bentuk penjagaan akan diberikan kepada pesakit pada penghujung hayatnya.

Amalan konferensi keluarga merupakan sesuatu yang amat digalakkan terutamanya apabila ia membuka ruang kepada ahli keluarga dan pesakit sendiri untuk terlibat secara langsung dan aktif dalam usaha untuk merangka pelan penjagaan akhir hayat pesakit.

Ia selaras dengan perkembangan perubatan terkini yang tidak lagi didominasi oleh paternalisme doktor dalam membuat keputusan (physician paternalism) tetapi menekankan penentuan keputusan secara bersama-sama atau disebut sebagai shared decision-making.

Akhir sekali, perkara yang penting untuk ditekankan ialah, amalan mengadakan perbincangan atau bermesyuarat demi mencapai sesuatu keputusan yang sepakat juga merupakan anjuran dalam Islam.

Ia berdasarkan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara ber-mesyuarat sesama mereka…” (Surah al-Syuura, 42:38).