TEMA Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama bersempena Hari Alam Sekitar Malaysia (HASM) 2017 dengan jelas menggalakkan kerjasama semua pihak dalam usaha menjaga alam. Hal ini sejajar pandangan hidup Islam yang meletakkan setiap manusia sebagai khalifah untuk mengurus alam ini sebagai tanda kehambaan kepada ALLAH SWT.

Matlamat pendidikan alam sekitar, sepertimana digariskan dalam Persidangan Tbilisi 1977 adalah untuk membentuk masyarakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, sikap, motivasi dan komitmen bagi menyelesaikan masalah alam sekitar masa kini dan mencegah masalah baharu, sama ada secara individu atau kolektif. Dalam konteks ini, penekanan diberikan kepada pengetahuan kerana ia penting bagi memastikan alam dijaga dengan betul.

Baru-baru ini, terdapat satu perkembangan baik berkaitan pendidikan alam sekitar formal bila mana subjek alam sekitar bakal diperkenalkan di sekolah. Usaha ini dijangka dilaksanakan pada 2019.

Pendidikan alam sekitar formal sememangnya penting terutamanya dari sudut mendidik pada awal usia kanak-kanak.

Harapannya ialah ilmu yang disampaikan seawal usia itu akan menyerap dan kekal dalam diri anak-anak. Dengan itu, apabila dewasa, kanak-kanak tersebut akan menggunakan ilmu yang ada untuk menjaga alam ini.

Walau bagaimanapun, pendidi-kan alam sekitar formal seharusnya berjalan seiring dengan pendidikan alam sekitar tidak formal. Ini kerana, tidak semua perkara dapat diajar di bawah pendidikan alam sekitar formal dan sasaran penerimanya juga tidak menyeluruh.

Pendidikan alam sekitar ti-dak formal boleh merangkumi pendidikan non-formal dan in-formal. Pendidikan bentuk ini merujuk kepada pendidikan di luar bilik darjah misalnya dalam keluarga atau di persekitaran dan juga meliputi pendidikan sepanjang hayat. Sasaran utama pendidikan alam sekitar tidak formal adalah masyarakat pelbagai peringkat usia, tidak kira pelajar, pekerja, mahupun ibu bapa.

Pendidikan alam sekitar tidak formal berbeza dengan pendidikan alam sekitar formal kerana ia memberi peluang kepada kumpulan sasarannya belajar secara santai dan merasai pengalaman belajar di lapangan.

Dengan itu, kumpulan sasaran tersebut berpeluang menerokai persekitaran dan merasai pengalaman 'bersama' alam. Malah, mereka boleh ber-kongsi pengetahuan peribadi berkaitan usaha-usaha penjagaan alam.

Terdapat beberapa saluran pendidikan alam sekitar tidak formal. Antaranya media, sama ada cetak, elektronik mahupun baharu, aktiviti luar bilik darjah di sekolah atau melalui program-program oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, masjid, persatuan penduduk mahupun agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Sebagai contoh, ketika ini telah ada masjid yang bergiat aktif dalam kegiatan kitar semula serta menganjurkan majlis-majlis ilmu yang menyentuh aspek penjagaan alam sekitar dari sudut nilai dan etika.

Walaupun pendidikan alam sekitar tidak formal lebih menarik kerana memberi peluang kumpulan sasarannya merasai pengalaman dalam alam sekitar, namun pelaksanaannya kadangkala tidak konsisten. Kesannya, keberkesanan program tersebut sukar dinilai.

Selain itu, kandungan pendi-dikan alam sekitar tidak formal juga tidak dikawal dan tertakluk kepada pertubuhan atau agensi yang melaksanakannya. Oleh kerana itu, kebanyakan program memberikan tumpuan kepada kesedaran alam sekitar dan aspek penglibatan komuniti tidak begitu menonjol.

Oleh itu, pendidikan alam sekitar tidak formal juga seharusnya diberikan perhatian. Perlu ada gerakan secara tersusun agar masyarakat dapat merasai peluang belajar tentang persekitarannya.

Golongan tersebut mungkin terdiri daripada pemilik pasar raya, ahli undang-undang, para agamawan, penjawat awam, pekerja kilang mahupun mereka yang bekerja sendiri. Mereka inilah yang akan membuat keputusan-keputusan berkaitan diri, keluarga dan organisasi mereka.

Tumpuan terhadap pendidikan alam sekitar formal adalah baik tetapi pendidikan alam sekitar tidak formal jangan diabaikan. Anak-anak yang kita didik kini tidak membuat keputusan bagi keluarga atau sesebuah organisasi.

Namun, ibu bapa mereka serta ahli masyarakat dewasalah yang akan membuat pelbagai keputusan, sama ada keputusan berpihak mahupun menentang usaha menjaga alam sekitar.

Maka, pendidikan alam sekitar tidak formal diperlukan untuk mendidik mereka tentang perkara ini.