ISLAM menggesa umatnya untuk bersatu padu dan hidup berjemaah. Gesaan ini termaktub dalam al-Quran, maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu pada tali ALLAH, dan janganlah kamu bercerai-berai. (Surah Ali-Imran ayat 103). Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Hendaklah kamu bersama jemaah, jangan kamu berpecah belah. (Hadis riwayat imam Ahmad dan Tirmizi).

Kedua-dua sumber perundangan Islam ini dengan jelas memberi isyarat bahawa umat Islam secara fitrahnya adalah bersatu. Ini kerana pegangan kepada tali ALLAH SWT iaitu agama Islam menjadi faktor yang menyebabkan mereka bersatu padu. Suruhan dalam ayat di atas merupakan satu perkara yang perlu diakurkan oleh orang Islam yang telah pun berikrar dan menyerahkan diri kepada segala suruhan dan larangan ALLAH SWT.

Walau bagaimanapun, perpecahan dalam masyarakat Islam terus berlaku bukan sahaja di arena antarabangsa bahkan dalam kalangan masyarakat Islam tempatan. Perbezaan pandangan politik dan pegangan fahaman aliran agama, mazhab secara tidak sihat dalam isu bersifat ranting menjadi duri dalam daging kepada kesatuan dan perpaduan ummah.

Perkara yang patut berlaku ialah khilaf dan perbezaan pandangan dalam isu cabang perlu diraikan oleh masyarakat Islam tanpa menjejaskan ikatan tali ALLAH yang menyatukan mereka.

Punca-punca yang membawa kepada perpecahan sesama umat sudah tentu bertitik-tolak dengan tindak-tanduk daripada segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin mereka.

Tindakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan pengikut mereka dalam kalangan khalayak umat Islam akan terikut-ikut jalan yang membawa kepada perselisihan dan perpecahan. Jadi faktor pemimpin sebenarnya boleh membawa kepada kesatuan atau sebaliknya, perpecahan umat Islam.

Pemimpin merupakan penghulu, pelopor, pembimbing, penggerak, ketua, penuntun yang mempunyai kemampuan mempengaruhi orang lain dengan pelbagai cara untuk mencapai sesuatu tujuan. Mereka mampu memberi nasihat dan saranan dalam isu-isu yang timbul. Mereka bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan sama ada di sisi perundangan manusia apatah lagi kepada ketentuan dan peraturan ALLAH SWT.

Mereka mempunyai amanah untuk melihat kejayaan orang yang dipimpin dengan sebaiknya. Mereka juga perlu mempunyai daya intelek yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa sehingga dapat mendahulukan perkara yang perlu didahulukan demi kesejahteraan umat dan mencapai misi menegakkan kebajikan.

Pemimpin mempunyai pengaruh besar dan mempunyai orang yang menghormati dan mendukungnya. Kata-kata pemimpin diikuti dalam banyak perkara dalam kalangan pengikutnya. Mereka mempunyai kuasa sehinggakan orang lain tunduk dan berasa memerlukan panduan dan kepimpinan mereka.  

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik seorang pemimpin adil yang mampu membawa kesatuan umat Islam dalam menghadapi tribulasi dakwah pada zaman awal Islam. Perbuatan, perkataan, perakuan dan sirah Baginda SAW menjadi pedoman sepanjang zaman.

Ini diikuti teladan kepimpinan khulafa’ al-Rashidin iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Omar al-Khattab, Saidina Ali bin Abu Talib dan Saidina Othman bin Affan serta para sahabat Nabi SAW.

Dalam Islam, pemimpin itu mempunyai sifat benar, bijaksana, amanah dan juga menyampaikan perkara kebajikan. Pemimpin politik dan golongan agamawan sebenarnya merupakan pemimpin masyarakat.  Mereka merupakan faktor utama yang dapat memberi sumbangan dalam membina perpaduan dan kesatuan ummah.

Pemimpin dengan sifat-sifat kepimpinan, mempunyai banyak pengikut dalam kalangan masyarakat, apabila menghayati garis panduan Islam sebenar-benarnya, maka sudah tentu ia akan membawa kepada kesatuan ummah dengan lebih berkesan.  

Pemimpin perlu mendahulukan perkara asas yang bertunjangkan pegangan kepada tali ALLAH SWT dan berhati-hati dalam perkara cabang dan ranting. Dengan hikmah dan kepimpinan yang ada dalam diri pemimpin, mereka boleh mempengaruhi masyarakat dan menjadi tonggak memperkasakan perpaduan ummah.