BARU-baru ini timbul cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan pelbagai sektor terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan. 

Alasan yang diberikan - kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja dalam sektor ‘3D’ – dangerous, difficult dan dirty.

Tetapi adakah cara ini dapat menyelesaikan segala masalah? Kita perlu berfikir keluar kotak. Kita harus lebih kreatif dan memerdekakan pemikiran daripada takuk yang lama. 

Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baharu. Terdapat warga Indonesia, Nepal, Afrika, India, China, Bangladesh, Myammar dan sebagainya. Mereka semua bekerja dan berniaga di sini sehinggakan terdapat beberapa kawasan mereka yang monopoli. Mereka boleh bertindak ganas jika terasa diancam. Ini kerana semangat survival mereka tinggi demi untuk meneruskan kelangsungan hidup di negara orang.

Kes rompak, samun, rogol, bunuh juga banyak dilakukan oleh warga asing. Kita tidak menafikan ada rakyat Malaysia yang terlibat, namun mangsa selalunya akan mengatakan penjenayah adalah warga asing berdasarkan percakapannya. Keselamatan sosial negara dan keamanan tergugat disebabkan peningkatan kadar jenayah.

Penyakit-penyakit berbahaya juga semakin merebak dengan meluas. Mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah serta di kedai-kedai makan berisiko membawa penyakit. Ini kerana selalunya saringan kesihatan di negara asal tidak ketat. 

Persoalannya, benarkah rakyat Malaysia terlalu memilih dan tidak mahu bekerja di bidang tertentu? Banyak faktor yang perlu diambil kira, contohnya gaji yang ditawarkan majikan jika terlalu rendah bagaimana mereka hendak menanggung keluarga? 

Mungkin juga kita boleh melaksanakan kerahan tenaga dengan mewajibkan banduan, pesalah juvana, penagih dadah mahupun mat rempit untuk melakukan kerja-kerja yang disebut sebagai ‘3D’ itu. 

Daripada duduk saja di penjara kita boleh menggunakan kudrat mereka yang masih kuat untuk melakukan kerja-kerja sedemikian. Jika perlu kita boleh memberi mereka sedikit upah setiap hari yang mereka bekerja. Apa yang penting adalah menggunakan sepenuhnya tenaga rakyat sendiri sebelum mengambil pekerja asing.

Selain dari itu kita juga harus memperbetulkan cara berfikir. Anak-anak disuruh untuk belajar rajin-rajin agar nanti senang untuk mendapatkan kerja pangkat tinggi, pejabat berhawa dingin dan hidup mewah.

Gambaran ini yang kebanyakan ibu bapa tanamkan kepada minda anak-anak mereka sejak kecil lagi. Bagaimana jika anak itu tidak mampu dalam bidang akademik? Adakah dia dikira sebagai seorang yang gagal? Terdapat banyak pilihan sebenarnya yang boleh dibuat sama ada sekolah vokasional, teknik mahupun politeknik.

Masalahnya terdapat ibu bapa juga ahli keluarga yang memandang rendah institusi-institusi seperti ini. Anggapan sebegini yang selalunya membunuh semangat anak muda kita. Akhirnya mereka akan berpegang teguh pada anggapan bahawa bekerja hanyalah di pejabat yang berhawa dingin; masuk jam 8 pagi dan habis jam 5 petang.

Kebanyakannya orang Melayu yang membesar dengan anggapan sedemikian. Bangsa lain telah lama dididik sejak kecil oleh keluarga mereka untuk menceburi bidang perniagaan dan sebagainya.

Sedangkan kita sudah mempunyai panduan dalam agama Islam. Daripada Ibnu Umar, ia berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan yang baik.” (HR Thabrani)

Pekerjaan apa pun boleh menjadi pekerjaan yang baik asalkan halal dan bukan meminta-minta. Berkerjaya dalam agama Islam adalah salah satu ibadah dengan syarat pekerjaan itu tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat serta tidak mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti solat.

Bahang kemerdekaan yang masih terasa merupakan masa yang sangat sesuai untuk kita menilai semangat patriotik diri dalam memberi keutamaan kepada warga tempatan berbanding warga asing untuk mengisi pekerjaan di negara ini.  


* Ruangan ini dikelolakan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)