BARANGKALI satu-satunya masa dalam setahun di mana kita diajak mengenang dan mengingati sejarah adalah sekitar bulan Ogos dan September, iaitu sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Kepentingan sejarah dalam membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara memang tidak dinafikan. Generasi muda yang tidak melalui sendiri hiruk-pikuk yang membawa kepada kemerdekaan barangkali tidak akan dapat menghargai nikmat keamanan dan kemakmuran yang ada sekarang. Sebagai warga mereka perlu tahu sejarah di mana bumi dipijak.

Akan tetapi sejarah penting bukan semata-mata sebab itu. Negara bukanlah sepenting-penting perkara kepada diri kita. Ada perkara lain yang lebih utama dari negara, iaitu ‘makna diri’. Bahkan nilai dan kepentingan negara serta segala yang lain itu tertakluk kepada diri yang menilai itu.

Sejarah juga demikian, ia dinilai dan ditafsirkan oleh diri. Maka bukan semua butiran sejarah itu penting dan berguna kepada diri serta bangsa yang bijaksana akan menentukan apa yang penting dan apa yang tidak bagi dirinya.

Bagi bangsa Melayu tiada peristiwa yang lebih penting dan lebih utama dalam sejarah serta kesedarannya selain daripada peristiwa pengislamannya, kerana Islamlah yang telah memberikan bangsa Melayu makna dirinya sekarang.

Kedatangan Islam telah membawa perubahan mutlak, iaitu yang telah mengubah sama sekali diri dan seterusnya perkembangan sejarah bangsa itu. Perubahan ini adalah sesuatu yang bermakna, oleh itu ia wajib dihargai oleh generasi yang datang kemudian.

Penghargaan itu hanya akan datang kalau mereka mengenali sejarahnya iaitu bagaimana Islam telah mengubah sedemikian rupa akal budi datuk nenek mereka dan menjadikan mereka manusia baharu yang jauh lebih baik daripada nenek moyang mereka dahulu.

Melayu yang diislamkan itulah yang telah mengubah sejarah Nusantara ini, dan sejarah negara ini hanyalah secalit daripada sejarahnya yang panjang itu.

Sejarah negara ini tidak boleh diputuskan dari sejarah itu kerana kalau diputuskan yang tinggal hanyalah sejarah kegagalan, kemunduran, dan kehinaan se-dangkan dalam sejarahnya yang panjang itu bangsa Melayu pernah mencapai kemuncak kekuasaan dan kemuliaan duniawi.

Banyak yang boleh dipelajari oleh generasi hari ini daripada pengalaman masa lalu itu. Tidak cukup untuk mereka diajak semata-mata untuk melihat masa kini dan hadapan. Mereka perlukan pengajaran daripada sejarah supaya tidak tersilap langkah mengulangi kesilapan yang sama.

Tapi pengajaran dari sejarah bukanlah semata-mata pada kesilapan masa lalu, tetapi juga kebijaksanaannya. Yang lebih utama adalah kebijaksanaan kerana ia adalah sebesar-besar kebaikan yang dikurniakan ALLAH kepada manusia.

Ia lebih utama daripada ilmu kerana ilmu yang banyak sekalipun tiada memberikan manfaat di tangan seseorang yang tiada kebijaksanaan.

Hari ini bukan ilmu yang kita tiada, tapi kebijaksanaan.