AMATLAH memalukan apabila masyarakat memiliki persepsi golongan berpelajaran agama hanya pandai dalam mempersoalkan perkara-perkara remeh. Contohnya, bila gelaran besar 'Salafi' atau 'Ahlus Sunnah wal Jama‘ah' dirujuk kepada soal amalan tiada bacaan qunut Subuh, sekali azan sahaja pada solat Jumaat, tidak membaca talkin, memberus gigi sewaktu puasa, dan sebagainya. 

Membaca qunut Subuh, dua kali azan pada solat Jumaat, membaca talkin, dan yang seumpamanya — ataupun meninggalkan amalan-amalan tersebut bukanlah masalah ummah. Kalau perkara-perkara seperti itu dipermasalahkan, maka ia adalah masalah yang palsu — yang bukan sebenarnya masalah.

Ketenteraman masyarakat tidak sepatutnya diganggu dengan perkara-perkara seperti itu. Media massa pula tidak wajar melayan pertelingkahan mengenainya. Moga-moga ALLAH menjauhkan kita semua daripada sifat degil berpegang pada keremehan isi perbezaan antara-mazhab dan intra-mazhab yang seperti itu.

Kekecilan pendapat dan tanggapan puak modenis dan konservatif sebenarnya mencerminkan bahawa dalam fahaman mereka, “yang kecil itu besar” sehingga 'yang benar-benar besar itu tiada terlihat langsung'. They can’t see the forest for the trees.

Kalau golongan berpelajaran agama atau fuqaha asyik dan sibuk menekankan masalah-masalah yang remeh dan palsu, ini akan menimbulkan dalam kalangan masyarakat awam satu anggapan seolah-olah para imam Mujtahidin silam itu membincangkan soal-soal remeh. 

Sedangkan sebaliknya, para imam Mujtahidin seperti Abu Hanifah, Malik, al-Shafi‘i, Ibn Hanbal berusaha menangani masalah sebenar, iaitu isu risalah Nabi Muhammad sebagai rahmat yang membawa manfaat bagi sekalian alam dan kemanusiaan seluruhnya. Isu pemerintahan Islam sebagai agama sejagat yang telah berkembang ke seluruh pelosok Asia, Afrika dan Eropah.  

Para imam Mujtahidin faham bahawa syariah dan fiqh seharusnya memainkan peranan menyelesaikan persoalan-persoalan yang timbul dalam perhubungan orang-orang Islam pelbagai kaum, dan antara orang-orang Islam dengan masyarakat beragama lain atau negara lain. 

Daripada ratusan ribu huraian isu-isu syariah oleh para Imam Mujtahidin silam, hanya 40 peratus sahaja yang berkenaan dengan ritual, sementara 60 peratus lagi adalah mengenai undang-undang awam, hukum pidana, hasil negara, kesaksian dalam sistem mahkamah, jual-beli, mirat, perniagaan, dan muamalah.  

Seharusnya golongan berpelajaran agama turut mampu memartabatkan syariah dan fiqh untuk menghuraikan tentang keadilan dalam urusan jual-beli antara syarikat korporat dengan pelanggan; dalam industri asas tani; percukaian; hasil tanah negara; dan penyelarasan adat-resam dan tradisi masyarakat tempatan dengan Islam.

Apabila Imam Abu Yusuf mengarang Kitab al-Kharaj misalnya, beliau memberi panduan kepada khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara, termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan dalam kadar hasil, perbezaan status petani, jenis-jenis hasil mahsul negara dan banyak lagi, yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang yang sangat tersusun.  

Tadbir urus yang pincang turut ditegur dan perhatian pemimpin negara (khalifah) ditarik secara berani dan terus-terang oleh para Imam Mujtahidin silam.

Para Imam Mujtahidin memberi jawaban yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih — tetapi bagaimana untuk mempersatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara yang asing dalam urusan pentadbiran masyarakat, seperti perundangan Romawi dan Byzantin pada zaman tersebut.