PADA zaman langit terbuka hari ini yang sering mendendangkan pelbagai berita mengenai pergolakan, krisis dan perbalahan manusia di pelbagai negara, setiap orang semakin mengimpikan kehidupan negara yang aman dan sejahtera sunyi dari anasir-anasir yang merosakkan seperti pergolakan dan jenayah.

Namun persoalan penting yang menyusul, apakah sistem nilai terbaik yang boleh dijadikan landasan dalam membina sebuah negara sejahtera tersebut?

Pastinya bagi mereka yang yakin dengan kebenaran wahyu yang ditanzilkan Tuhan, sistem nilai berasaskan agama merupakan kunci kepada kesejahteraan masyarakat di dalam sesebuah negara. Walaupun ada yang berpandangan bahawa agama tiada peranan dalam negara malah harus dipisahkan dari pentadbiran dan pemerintahan, ternyata pandangan ini mewakili aliran sekular tegar yang tidak langsung melihat peranan murni yang dimainkan oleh agama.

Para ilmuwan Islam sejak dahulu telah menghuraikan dengan panjang lebar peranan agama dalam membina negara yang baik. Abu Nasr al-Farabi, ahli falsafah Muslim tersohor, yang menghuraikan ciri-ciri negara unggul (al-Madinah al-Fadilah) berbanding dengan negara yang sesat (al-Madinah al-Dallah) mensyaratkan warganegara yang mendiami negara ini mempunyai pegangan akhlak yang mendalam berdasarkan keyakinan terhadap nilai-nilai kebenaran yang tinggi.

Sementara al-Mawardi dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah, memulakan enam sendi yang harus ada pada sesebuah negara dengan sendi agama yang berperanan memperkukuh jiwa manusia dan pengawal hawa nafsu. Malah tugas paling utama seorang pemimpin, menurut al-Mawardi, selain mengurus urusan pentadbiran dunia adalah memelihara agama.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali pula menampilkan agama dan pemerintahan sebagai dua kembar yang tidak boleh dipisahkan. Agama diumpamakan sebagai teras sementara yang pemerintah sebagai penjaganya. Sesuatu yang kehilangan teras akan runtuh sementara sesuatu yang hilang penjaganya akan hilang.

Pembinaan sesebuah negara amat bergantung kepada pembinaan setiap individu tersebut. Individu manusia itu sendiri, seperti yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali, merupakan satu alam pemerintahan tersendiri yang mempunyai rajanya iaitu hati (akal) dan pengikutnya iaitu anggota-anggota lain termasuk nafsu dan fakulti ammarahnya.

Sekiranya pemerintah yang ada dalam diri manusia benar-benar berperanan dalam mentadbir, memandu dan memberi pengarahan yang betul dan tepat kepada pengikutnya, maka akan aman sejahteralah negara dalamannya dan pasti akan memberi kesan terhadap kesejahteraan negara yang ada di luar.

Agama, dalam hubungan ini, menawarkan cara untuk menggilap dimensi ruhiyyah manusia melalui penyucian jiwa yang merupakan inti pati kewujudannya. Agama juga memperkukuh dimensi akidah yang membina keyakinan akliyah seseorang insan tentang kewujudan Penciptanya Yang Esa dan Yang merupakan matlamat akhir perjalanan hidupnya.

Pengukuhan ini kemudiannya dilengkapkan pula dengan dimensi hukum-hakam yang menjaga batas perlakuan luaran manusia.

Gandingan dimensi akidah, akhlak dan undang-undang yang dikenali sebagai syari’ah islamiyyah ini kesemuanya tertumpu kepada matlamat penting iaitu pemeliharaan maslahah iaitu kebaikan dan kesejahteraan setiap diri individu manusia.

Sekiranya semua matlamat syariah ini dapat dicapai secara individu, secara tidak langsung ia juga akan mencapai matlamat berkumpulan seterusnya membolehkan impian untuk membina sebuah negara yang aman dan sejahtera yang disebutkan awal tadi terlaksana.

Pakej tawaran dari kerangka agama ini pastinya tidak mudah diterima terutama oleh sebahagian masyarakat moden sekular. Ini terbukti apabila debat mengenai peranan agama dalam negara, negara Islam vs negara sekular, perlaksanaan dan pemerkasaan undang-undang syariah masih hangat diperdebatkan.

Dewasa ini, ia timbul semula di Malaysia terutama apabila siyasah negara bergerak ke arah pembinaan sebuah negara Malaysia yang baru.

Antara hujah golongan sekular dalam menolak peranan agama dalam negara ialah kegagalan sistem teokrasi kelompok gereja pada abad pertengahan sehingga membawa kepada kegelapan akal, sains dan falsafah kepada peradaban Barat. Juga hujah timbulnya kelompok ekstremisme agama yang membawa ancaman besar kepada keamanan dunia dewasa ini.

Walaupun kita memahami kebimbangan golongan sekular di atas, faktor sejarah ini tidak seharusnya menjadi dalil terhadap ketidakperluan nilai agama kepada negara. Kepincangan institusi agama harus dibezakan dengan keupayaan agama itu sendiri. Apa yang dilakukan oleh masyarakat moden Barat terhadap agama seolah-olah seperti “membuang air dari bekas mandian bayi bersama-sama bayinya sekali.”

Begitu juga dengan hujah ekstremisme agama yang timbul hasil dari penyempitan pentafsiran sumber agama. Yang jelas, ekstremisme bukan sekadar berlaku dalam agama tetapi juga dalam ruang kehidupan sekular sepertimana yang tergambar dalam tragedi Peperangan Dunia Pertama dan Kedua yang telah mengorbankan dan mencederakan seramai 40 juta manusia disebabkan tindakan ekstremisme atas nama negara.

Kewujudan dakwaan yang bertentangan antara golongan agama dan sekular juga tidak harus menjadi penghalang kepada kehidupan harmoni manusia sejagat di atas bumi yang sama (peaceful co-existence). Agama yang telah lama menyumbang sepanjang sejarah dalam memperbaiki akhlak mulia harus diberi tempat untuk terus menyumbang kepada pemantapan dan keharmonian sesebuah negara dan juga secara umumnya.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)