DALAM Islam tiada kasta yang membezakan seorang Muslim daripada yang lain, dan tiada institusi gereja. 

Tapi itu bukan bermakna bermakna tiada perbezaan, dan perbezaan itu adalah merujuk kepada mutu keislaman seseorang itu, yang asasnya kembali kepada ilmu dan kefahaman. 

Dalam soal ini manusia berbeza. Al-Quran menyebut tidak sama orang yang berilmu dengan yang jahil, manakala dalam kalangan mereka yang berilmu pula tidak sama darjatnya masing-masing di sisi ALLAH. 

Malangnya, ini adalah hakikat yang sudah tidak lagi difahami pada hari ini kerana manusia rata-ratanya tiada ilmu, tidak cukup ilmu, dan mempunyai salah faham yang mendalam terhadap hakikat dan sifat ilmu serta martabat ilmu.

Keadilan tidak mungkin berlaku jika manusia tidak memiliki ilmu yang menunjukkan kepadanya tempat yang sebenar bagi setiap sesuatu. 

Maka setiap Muslim itu diperintahkan supaya berbuat adil, dan dia juga diperintahkan menuntut ilmu, kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. 

Ilmu itu adalah prasyarat keadilan, sedangkan keadilan, menurut Islam, bermula dan berakhir dengan diri sendiri. 

Salah untuk kita menyangka keadilan itu hanya berlaku apabila ada dua pihak yang terlibat, seumpama antara dua orang, atau antara pemerintah dan rakyat. 

Setiap manusia itu pada hakikatnya ada dua diri, yakni diri akali dan diri hayawani, dan apabila kita kata keadilan itu bermula dengan diri sendiri, yang kita maksudkan dua diri ini mesti diletakkan pada tempatnya masing-masing. 

Tempat yang benar bagi diri akali adalah sebagai pemerintah ke atas diri hayawani dan bukan sebaliknya. 

Jika sebaliknya yang berlaku, yakni apabila diri hayawani yang memerintah dan menguasai diri akali, maka kezalimanlah akibatnya, dan itulah yang dimaksudkan oleh kenyataan al-Quran bahawa manusia yang durhaka kepada ALLAH itu sebenarnya menzalimi dirinya sendiri.

Kenyataan al-Quran tentang keadilan dan kezaliman yang merujuk kepada diri itu amatlah penting untuk kita fahami kerana di atas kefahaman itulah kita sepatutnya bina konsep pendidikan. 

Kita fahami daripada kenyataan itu bahawa pendidikan sepatutnya bertujuan melahirkan manusia yang adil, bukan yang zalim, kerana hanya manusia yang adil yang mampu mengawal diri, dan dengan sebab itu hanya dia yang boleh diberikan amanah memimpin, mengawal, serta mengurus orang lain. 

Daripada kenyataan al-Quran itu juga kita fahami bahawa yang menerima pendidikan adalah manusia, oleh itu ilmu yang mengenalkan manusia tentang hakikat diri dan potensi-potensinya adalah perkara utama dalam pendidikan Islam. 

Yang perlu dididik adalah diri akali dan diri hayawani, dan masing-masing mesti disediakan untuk diletakkan pada tempatnya masing-masing. 

Akal mesti mengenal tempat yang benar bagi setiap sesuatu, dan nafsu pula dilatih agar tunduk patuh pada isyarat dan arahan akal. 

Dalam perkara ini taraf kesempurnaan setiap manusia adalah berbeza, dan di situlah letaknya perbezaan martabat mereka di sisi ALLAH.