SEBAGAIMANA yang kita tahu hikmah puasa itu banyak. Satu daripadanya yang utama adalah kita berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Kita dapat merasai keperitan saudara seagama kita yang lain - menderita kelaparan yang mungkin disebabkan oleh masalah kemiskinan, peperangan atau bencana alam.

Apabila Ahli Parlimen Ajax, Ontario, Mark Holland berucap di Parlimen Kanada memberitahu bahawa tahun lepas dia berpuasa penuh pada Ramadan atas dasar ingin merasai apa yang dilalui oleh mereka yang susah yang tiada makanan; dan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk makan setiap hari ketika berpuasa tadi, beliau berikan kepada mereka yang memerlukan menerusi satu program amal iaitu GIVE 30, beliau mendapat tepukan gemuruh dan standing ovation daripada rakan-rakan parlimennya yang lain.

Bagi sesetengah pihak, apa yang dilakukan oleh Mark Holland mungkin tidak meninggalkan apa-apa kesan pun di hati mereka. Akan tetapi apabila membaca satu laporan kajian di Malaysia yang dibuat oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), penulis berasakan kita perlu rasa malu dengan apa yang dilakukan oleh Mark Holland. Sementelah pula beliau bukanlah seorang yang beragama Islam.

Laporan itu antara lain menyebut bahawa secara purata sebuah isi rumah di Malaysia membazirkan kira-kira sebulan gaji mereka dengan membuang makanan yang dibeli ke dalam tong sampah. Dalam bentuk angka, pembaziran yang dibuat ini bernilai RM2,700 setahun atau sebanyak RM225 sebulan. Ini merupakan satu jumlah yang kalau diinfakkan ke jalan ALLAH, tentu besar ganjarannya lebih-lebih lagi jika infak ini dilakukan pada Ramadan.

Menurut pihak SWCorp juga, jumlah pembaziran dikatakan akan meningkat pada musim-musim perayaan pada kadar 15-20 peratus. Berdasarkan kepada pendedahan ini kita boleh jangkakan pembaziran akan meningkat untuk sepanjang Ramadan ini dan Syawal yang akan datang.

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu di mana kos sara hidup yang meningkat, ramai terpaksa berjimat cermat dan masih ramai lagi penduduk di negara ini yang tak cukup makan, sudah tentu dapatan kajian SWCorp ini merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Apa pun sesuatu yang baik itu perlu bermula dengan diri individu itu sendiri. Di sini kesedaran bahawa pembaziran itu sesuatu yang merugikan dan keinsafan bahawa berkongsi nikmat yang ALLAH berikan itu adalah lebih baik daripada membazir perlu ada dalam jiwa setiap  insan - lebih-lebih lagi jika dia mengaku dirinya seorang Muslim.

Secara idealnya Ramadan adalah bulan untuk kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT. Jadi kita seharusnya mengambil kesempatan Ramadan ini untuk bermuhasabah dan membaiki diri serta mempertingkatkan ketakwaan diri masing-masing dengan mematuhi segala yang dianjurkan oleh Islam dan ini termasuklah menjauhi unsur-unsur pembaziran.

Pembaikan diri tidak semestinya berlaku secara mendadak atau drastik. Kalau kita dapat mencontohi Mark Holland di mana wang yang sepatutnya beliau guna untuk membeli makanan sepanjang Ramadan diberikan kepada program amal, itu adalah satu permulaan yang sudah cukup baik.

* Penulis Felow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)