MENJADI kaya adalah menjadi keinginan bagi setiap orang. Kekayaan pada masa sekarang ini adalah kekayaan maya atau kekayaan memiliki ‘data-data’ yang bernilai berbilion-bilion ringgit.

Sebagai contoh, Google yang menyediakan perkhidmatan sebagai enjin pencari secara percuma. Misi utama mereka ialah untuk mengumpul maklumat atau data dunia dan menjadikannya dapat diakses dan bermanfaat oleh semua orang.  

Satu lagi contoh yang paling rapat dengan kehidupan seharian kita ialah Facebook. Facebook adalah merupakan satu rangkaian sosial secara percuma dan dianggarkan sekitar 250 juta pengguna. Aplikasi Waze pun begitu juga yang menawarkan kemudahan kepada pengguna untuk mencari arah dan lokasi sesuatu tempat.

Inilah contoh-contoh yang berlaku di negara maju. Mereka berusaha gigih untuk membangunkan aplikasi-aplikasi tertentu yang diberikan secara percuma. Mereka memberi manfaat kepada manusia yang lain sebagaimana ajaran Islam.

Tetapi lain pula apa yang sedang berlaku di sesetengah negara atau di negara kita ini iaitu berlaku aktiviti penjualan data peribadi di pasaran gelap. Urus niaga ini amat menguntungkan dan sukar dikesan oleh mana-mana pihak kerana ia tidak melibatkan aset yang berpindah milik. Data-data tersebut hanya disalin atau ‘copy’.

Sebagai contoh, syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan mengutip hutang atau pun debt collector amat bergantung kepada data-data terkini bagi menjalankan perkhidmatan mereka. Data-data ini hanya boleh diperoleh dari pasaran gelap. Bagi mereka yang pernah bekerja dengan agensi seperti ini mungkin mereka mengetahui bagaimana data-data ini dibeli di pasaran gelap.

Pembelian data-data peribadi ini juga pernah dijual di lawan sesawang. Pada 20 Oktober 2017, Malay Mail Online melaporkan bahawa data peribadi telah dijual secara tidak sah di laman sesawang Lowyat.net. Kebocoran ini dipercayai berlaku antara tahun 2012-2015.

Menurut laporan tersebut pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis telah menyiasat perkara ini. Seperkara lagi, terdapat akta yang telah diperuntukkan dalam penjagaan data ini iaitu Akta Penjagaan Data Peribadi 2010.

Manusia ini adalah sebagai hamba ALLAH SWT dan juga sebagai khalifah-Nya. Tanggungjawab manusia sebagai hamba ALLAH SWT ialah patuh, taat dan tunduk kepada-Nya manakala tanggungjawab manusia sebagai khalifah pula membangun, memakmur dan melaksanakan amanah ALLAH.

Sebagaimana Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Anfal ayat ke-27 mafhumnya “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya)”.

Maqasid syariah atau objektif syariah membawa erti seluruh peraturan yang terdapat dalam Islam mempunyai tujuan dan matlamat yang besar dan penting untuk menjaga kepentingan manusia dunia dan akhirat. Terdapat lima agenda utama iaitu penjagaan agama, penjagaan nyawa, penjagaan akal, penjagaan keturunan dan penjagaan harta.

Dalam konteks penjagaan harta, harta pada era digital masa kini bukanlah tertakluk kepada harta fizikal semata-mata tetapi harta yang berbentuk data seharusnya dipertimbangkan.

Dikatakan harta itu apabila ia bernilai. Jadi, data pada masa kini mempunyai nilai tinggi yang boleh dijual beli. Harta-harta kerajaan ini sepatutnya tidak dilihat dari segi harta benda secara fizikal tetapi data-data yang dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan yang bernilai berbilion ringgit.

Selain daripada ia bernilai, data ini juga terkait rapat dengan faktor keselamatan. Oleh itu, sebagai cadangan dalam menyelesaikan masalah pecah amanah yang berlaku di dalam negara kita ini seharusnya diperluaskan skop termasuk mereka-mereka yang terlibat di dalam pengendalian data ini secara langsung atau tidak langsung.