KESATUAN umat Islam merupakan satu perkara asas dalam kehidupan bermasyarakat. Ini adalah kerana tanpa kesatuan, pelbagai kekurangan dan kelemahan akan berlaku kepada mereka. Kesannya yang negatif bukan sahaja mengancam kemajuan umat, bahkan boleh menjadikan mereka tidak kompetitif dalam kehidupan semasa yang serba mencabar dan penuh dengan persaingan.

Umat pada akhirnya tidak dapat mengecapi kemajuan pada aras lebih tinggi dan mereka akan menjadi lemah dalam aspek kuantiti apabila perpecahan yang wujud akan menjadikan mereka bergerak secara kelompok yang lebih kecil. Sebaliknya, jika mereka bergerak atas landasan yang satu, ia akan melonjakkan kekuatan mereka.

Pada masa sama, umat Islam turut diancam dengan unsur luar semasa yang boleh menggugat kehidupan beragama mereka. Ini termasuk fitnah dan usaha menimbulkan rasa tidak yakin kepada pegangan agama Islam melalui serangan ke atas akhlak dan pemikiran mereka.  

Untuk menghadapi cabaran seumpama ini, faktor utama yang perlu ada dalam kalangan umat Islam ialah kesatuan. Unsur yang membawa kepada kesepakatan perlu diuar-uarkan sentiasa tidak kira melalui media konvensional atau pun media sosial.

 Apabila kita merujuk kepada kesatuan umat, ia merujuk kepada perihal mempersatukan umat. Pelbagai cara digunakan dalam mencari titik kesatuan. Walau bagaimanapun cara yang asas ialah dengan faktor agama.

Agama Islam sebenarnya mengikat kesatuan umat Islam dengan satu akidah dan matlamat yang sama iaitu mencari keredaan ALLAH SWT.  Ikatan akidah Islam merupakan satu ikatan yang suci melebihi yang lain. Ini kerana ikatan sesama Islam bukan sahaja terhad di atas muka bumi, bahkan membawa kepada ikatan dalam kehidupan akhirat.  

Sebagai seorang yang beriman, seorang Muslim perlu akur kepada ketentuan dan tuntutan agama Islam. Antara tuntutan agama ialah ALLAH SWT menegaskan bahawa mereka perlu berpegang dengan agama Islam dan jangan berpecah belah. Ini merupakan jawapan terbaik dan menjadi faktor yang membawa kepada kesatuan umat.  

ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran, ayat 103, Surah Ali-Imran yang maksudnya, “Dan berpegang teguhlah dengan tali ALLAH (ajaran dan panduan yang ALLAH jelaskan dalam al-Quran dan al-Hadis) dan janganlah kamu berpecah belah”.

Sebagai umat majoriti dalam negara kita, kesatuan ini bukan sahaja memperkasakan jati diri, bahkan menjadi ejen kepada kemakmuran negara yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum. Ini kerana kesatuan umat yang diteraskan atas asas menjunjung perintah ALLAH SWT akan memberi hak yang adil kepada semua orang, sama ada Islam dan bukan Islam.  

Kesatuan umat Islam itu bagaikan satu bangunan yang saling membentuk antara satu sama lain sehingga menjadi sebuah bangunan tersergam gagah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari Nabi SAW membawa perumpamaan ini, yang bermaksud “Muslim dengan Muslim yang lain seperti bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain”.

Sebenarnya, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan juga peristiwa lain tentang kejatuhan umat Islam akibat kelemahan mereka kerana tidak ada kesatuan dan berlaku perpecahan dalam kalangan mereka.  

Mengambil pengajaran merupakan satu tuntutan ajaran agama Islam.  Dalam Surah al-Ghasiyah ayat 17, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud “Tidakkah engkau lihat bagaimana binatang unta dijadikan?”. Ini merupakan satu pembuktian bahawa pengajaran ke atas peristiwa yang berlaku boleh memberi keinsafan kepada manusia untuk kembali kepada panduan agama yang betul. Dalam konteks kesatuan ummah, umat Islam perlu mengambil pengajaran keadaan umat Islam di tempat lain yang telah pun menjadi kucar-kacir dan musnah akibat tiada kesatuan dalam kalangan mereka.

Kesatuan umat merupakan satu tuntutan agama yang akhirnya membawa umat Islam kepada kemenangan dalam menghadapi cabaran semasa yang pelbagai.

* Penulis Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)