SEORANG  pengkaji krisis alam sekitar menyatakan keganasan yang paling berbahaya dan yang berlaku terus-menerus tanpa kita sedari ialah keganasan terhadap sistem sokongan kehidupan bumi yang terkandung di dalam udara, air dan tanah.

Cuba renungkan sejenak, adakah apa-apa pada diri kita yang dimakan baik yang dipakai mahupun yang diusahakan yang bukan datang daripada ketiga-tiga unsur ini?

Tanpa ketiga-tiga sistem sokongan ini berada di dalam keadaan seimbang dan berfungsi dengan baik, kehidupan manusia akan terjejas dari segi fizikal, sosial, psiko emosi dan dalam konteks agama, dari segi peribadatan/spiritualnya juga. Sebagai contoh, jika berlaku gelombang panas (satu manifestasi terganggunya sistem hidupan bumi hari ini) yang panjang dan ekstrem (suhu 40 darjah ke atas) bagaimana agaknya jemaah haji dapat menjalankan ibadat mereka dengan baik dan selesa?

Jika berlaku banjir besar (juga akibat degradasi alam sekitar seperti yang berlaku di Kelantan tahun lalu) rumah ibadat seperti masjid akan turut musnah. Bagi orang Islam masjid adalah rumah ALLAH. Tergamakkah orang Islam melakukan atau membantu ke arah berlakunya jenayah terhadap alam sekitar yang merosakkan rumah ALLAH antara lainnya?

Degradasi alam sekitar berhubung kait secara langsung dengan berbagai bentuk keganasan yang lain seperti peperangan, kemiskinan dan penindasan. Di daerah-daerah bumi di mana alam sekitarnya amat mudah tergugat, hubung kait di antara kemusnahan sistem sokongan kehidupan seperti yang diperjelaskan memberi kesan yang amat jelas walau pun fakta dan hakikat ‘kemeranaan alam sekitar’ sebagai asas dan kembaran kepada ‘kemeranaan kemanusiaan’ mangsa perang misalnya sering diselindungi faktor politik, ketenteraan dan lain-lain. Terfikirkah oleh kita bagaimana agaknya hidup tanpa air bersih di kawasan yang dikepung dan dimusnahkan oleh askar-askar musuh?

Krisis alam sekitar yang melanda dunia hari ini sebenarnya timbul sebagai hasil krisis nilai/kepercayaan. Dalam banyak komuniti, sistem-sistem nilai tradisional seperti yang diajar oleh agama telah dilumpuhkan oleh nilai-nilai “Agama Pasaran”/Religion of the Market yang melihat semua benda dan perkara sebagai komoditi untuk/boleh dijual.

Golongan penganalisis melihat sama ada kita sedar atau tidak, sebagai sumber nilai yang paling dominan hari ini, iaitu agama pasaran, merupakan agen utama yang mencetuskan keganasan terhadap/kalangan manusia dan alam sekitar. Ini adalah kerana semua modal perniagaan sebenarnya boleh kita kesan bermula dengan ‘modal’ insan (idea dan kreativiti/ilham) dan ‘modal’ alam sekitar (minyak, logam, tenaga air/suria, hutan dan pelbagai spesies hidupan, air dan lain-lain). Apa yang fundamental ialah kedua-dua modal utama ini adalah pemberian/nikmat ALLAH kepada manusia yang tidak punyai apa-apa. Manusia diangkat sebagai khalifah yang diamanahkan alam ini untuk ia menjaga dan memakmurkannya, dan jauh sekali daripada merosakkannya; dan amanah ini akan dipertanggungjawabkan nanti.

Al-Quran menyatakan: “Pada hari itu manusia akan keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun akan melihat balasannya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun akan melihat balasannya juga.” (Surah Az Zalzalah: 6-8).

Kegagalan kita yang amat membimbangkan hari ini ialah kita tidak cukup memahami dan menghargai sistem kitaran dan rantaian kehidupan yang juga disebut sebagai ekosistem melalui mana kita bermandiri/survive sebenarnya. Di dalam sistem tauhid kecanggihan, ketelitian, keseimbangan dan kesenian sistem-sistem ini menunjukkan kebijaksanaan dan kekuasaan Maha Pencipta. Dia bukan hanya mencipta seluruh yang berada di langit dan di bumi tetapi Dia juga yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam ini. Hari ini golongan saintis boleh  memahami bagaimana sistem-sistem di bumi berfungsi tetapi mereka tidak mampu untuk menjawab soalan ‘kenapa’ sistem-sistem tersebut  bersifat sedemikian, iaitu mereka tidak dapat mencakupi kearifan Rabbul-‘alamin. Di sinilah saintis Muslim harus boleh menyedia dan menyebarkan wacana mengenai alam sekitar dan Islam yang lebih holistik sifatnya.

*Prof Datin Dr Azizan Baharuddin,
Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)