POLITIK dan Islam bukannya dua komponen yang terasing. Berbeza dari ideologi sekular yang meletakkan agama dalam ruang lingkup peribadi setiap individu, Islam merupakan asas kepada semua aspek kehidupan manusia termasuklah politik.

Kesyumulan Islam sebagai ad-din menghimpunkan kehidupan spiritual dan material serta tidak mengasingkan perkara yang berkaitan dengan keduniaan dari akhirat.

Kematangan umat Islam dalam politik harus diterjemahkan melalui satu bentuk persefahaman dalam kalangan pemimpin Islam untuk mencapai kata sepakat tentang apa yang terbaik untuk masyarakat Malaysia secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, persefahaman ini bukannya bertujuan menolak kewujudan kepelbagaian parti politik dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Malahan, pemimpin umat Islam akan lebih dipandang tinggi dan dihormati kerana berjaya meletakkan keutamaan umat melebihi sentimen perjuangan politik     masing-masing.

Kegagalan membuktikan kesepakatan atau persefahaman dalam kalangan pemimpin Islam akan menjejaskan imej Islam itu sendiri. Kelemahan pada agama akan dinilai berlandaskan kegagalan ia menyatukan pihak yang bersaing untuk duduk berbincang atas nama agama.

Perpecahan umat Islam hari ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor perbezaan pandangan tetapi juga disebabkan oleh ketaksuban terhadap individu melampaui komitmen terhadap agama. Akhirnya, ini akan melemahkan umat Islam yang berterusan dihimpit dengan pergolakan dalam kelompok sendiri sehingga gagal menyelesaikan perkara berkaitan kepentingan ummah.

Pemeliharaan agama adalah satu keutamaan dan ia bukan sahaja dinilai dari aspek menegakkan hukum-hukum agama tetapi juga merangkumi usaha memelihara aqidah dan imej Islam itu sendiri.

Jika sebarang bentuk perbalahan dalam kalangan umat Islam itu mengakibatkan Islam itu dilabel dengan penilaian negatif dan dicemuh, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengembalikan kredibiliti agama kepada yang sepatutnya. Perpecahan dalam kalangan umat Islam, sama ada dalam politik dan pemikiran haruslah tidak mendatangkan kemudaratan kepada Islam.

Kematangan dalam berpolitik juga dapat diterjemahkan dengan mengambil pendekatan perbincangan dan musyawarah untuk menyelesaikan masalah secara lebih terarah dan berkesan.

Keadilan dan keindahan Islam akan dapat dilihat apabila umat Islam dapat bersatu atas perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhan. Walaupun terdapat perbezaan dalam kaedah memenuhi maslahat ini, namun jika musyawarah dijadikan medan persetujuan, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan kedaulatan Islam, seharusnya ia dialu-alukan.

Umat Islam perlu melihat kepentingan untuk duduk semeja dan berbincang kerana mempunyai asas ikatan yang paling kukuh iaitu aqidah dan ukhuwah Islam. Ini sejajar dengan firman ALLAH SWT dalam al-Quran:

"Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah As Syuura: 38)

Sehubungan itu, umat Islam haruslah peka antara keperluan untuk bercanggah pendapat dan juga keperluan untuk membina persefahaman. Permulaan yang baik dalam membina persefahaman ialah mengetepikan sikap penting diri dan menjadikan Islam sebagai kayu ukur kepada setiap penilaian kita.

Kematangan berpolitik juga bergantung kepada sejauh mana pihak-pihak yang bertelagah boleh bersetuju dan berlapang dada apabila dikritik. Kekuatan umat Islam akan terjelma apabila perbezaan pendapat yang sedia ada tidak dijadikan alasan untuk bermusuh.

Perbezaan dan perselisihan pendapat itu adalah lazim tetapi tidaklah sehingga memudaratkan agama, kehidupan serta akal manusia dan akhirnya membuka peluang kepada musuh Islam untuk menangguk di air yang keruh.

* Penulis Felo Pusat Kajian Syari’ah, Undang-Undang dan Politik  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)