KEHIDUPAN kita pada hari ini kita serahkan kepada data. Data akan menentukan sesuatu keputusan yang dibuat atau keputusan yang dibuat terhadap kita.

Sebagai contoh sekiranya kita ingin memohon pinjaman di institusi kewangan atau bank, data-data peribadi kita dinilai dan disemak berdasarkan CTOS atau CKRISC sekiranya hasil semakan tersebut adalah positif, maka pinjaman itu diluluskan dan begitu jugalah sebaliknya. 

Begitu juga bagi mereka yang bekerja kebiasaannya mereka ini dinilai berdasarkan laporan penilaian prestasi tahunan. Data-data sepanjang tahun itu akan dinilai oleh ketua-ketua mereka dalam menentukan pergerakan gaji, sama ada data-data yang dicerap ini dipengaruhi oleh emosi atau tidak ia tetap dipanggil data dan keputusan tersebut akan diguna pakai.

Jadi, apa yang cuba diketengahkan dalam artikel ini ialah berkaitan dengan data dari yang sekecil ini dan akhirnya akan menyumbang kepada apa yang dikatakan big data atau data raya. 

Apa sebenarnya data raya? Apakah perbezaan antara data besar (big data) dan data banyak (plenty of data)? Mengapakah kita perlu memahami persoalan data raya ini? Dan banyak lagi persoalan yang berkait dengan data raya ini yang tidak mungkin diperjelaskan kesemuanya dalam artikel ini. Ini adalah kerana berbagai-bagai isu yang akan timbul daripada persoalan ini sama ada dalam bentuk positif atau negatif.

Sejak beberapa tahun belakangan ini, jika ditanyakan tentang apa yang sedang menjadi trend dalam dunia teknologi informasi (TI), mungkin banyak yang akan menjawab cloud computing. Tetapi, sejak awal tahun 2011 muncul istilah big data yang kemudian menarik perhatian banyak profesional mahupun pemerhati teknologi informasi.

Setiap hari, kita menjana 2.5 quintillion byte data sehinggakan 90% data di dunia hari ini dijana dalam tempoh dua tahun ini sahaja. Sumber data ini datang dari pelbagai bentuk, dari merata tempat dan dalam setiap saat. Sebagai contoh data ini datang daripada maklumat ramalan cuaca, maklumat yang dimuatkan di media sosial seperti Facebook, YouTube, WhatsApp, Telegram, gambar-gambar digital, data-data yang dikutip oleh drone, rekod-rekod daripada jualan dan belian, data-data yang diambil oleh GPS, data-data daripada kamera litar tertutup (CCTV) serta banyak lagi. 

Analitis data raya ini akan dapat digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai ramalan wabak penyakit, keselamatan siber, pertahanan negara, ramalan pencegahan jenayah, kawalan bencana, maklumat pintar dan kesesakan jalan raya serta lain-lain.

Selain itu, analisis ini juga dapat memberi maklumat mengenai keuntungan berlebihan oleh peniaga dan bagaimana rakyat dapat berbelanja dengan bijak, mengenal pasti punca jenayah dan analisis trend bagi mengekang jenayah, mengambil kira dan menganalisis pandangan rakyat di media sosial dan banyak lagi.

Dalam kita berbicara persoalan data raya ini, sebagai contoh, Facebook memiliki lebih dari 800 juta keahlian dan dalam satu hari Facebook memproses sekitar 10 terabyte data. Selepas terabyte, nilai seterusnya ialah petabyte. Sebagai makluman kita, 1,000 terabyte bersamaan dengan 1 petabyte. 

Contoh yang kedua adalah Bank of America yang memproses atau mengendalikan data lebih daripada 1 petabyte data dan begitu juga dengan contoh yang ketiga seperti Wallmart Stores yang menjalankan perniagaan peruncitan (supermarket) berskala dunia dan telah mengelola data dalam kapasiti lebih dari 2 petabyte serta banyak lagi contoh yang berskala dunia boleh kita ambil.

Bagaimanapun, dalam kita menguruskan sistem sumber maklumat terutama yang berskala besar ini, kita perlu memahami bagaimana data tersebut berubah dari satu peringkat ke peringkat yang lebih kompleks dengan melihat kepada konsep data, informasi, ilmu dan hikmah. 

Tanggungjawab kita dalam menguruskan maklumat bermula daripada data yang tidak ditapis atau dari sumber yang asal kemudian maklumat itu diklasifikasikan kepada pengetahuan yang lebih bermakna dan bernilai. Maklumat yang telah diproses tadi akhirnya memerlukan kebijaksanaan untuk menentukan maklumat yang bermakna dalam mencapai hikmah.  

“ALLAH memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya) Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal.” - al-Baqarah: 269.

 

* Penulis Felow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)