NEGARA kini dalam keadaan kebimbangan berikutan peningkatan kes virus Zika. Kes pertama jangkitan Zika melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun diuji positif virus itu selepas seminggu pulang dari negara Singapura.

Pengesahan kes kedua jangkitan Zika pula berlaku di Kota Kinabalu, Sabah. Dia dijangkiti selepas digigit nyamuk yang membawa virus penyakit itu. Dan kes ketiga melibatkan seorang wanita mengandung dipercayai antara tiga hingga empat bulan.

Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan hingga 13 September 2016, terdapat sebanyak enam (6) kes Zika telah dilaporkan di seluruh negara. Kesemua kes yang dijangkiti Zika ini telah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan rapi.

Pemantauan Kementerian Kesihatan juga mendapati sebanyak 79 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika telah dilaporkan, namun kesemua mempunyai keputusan ujian yang negatif.  

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dari tahun 2007 hingga 24 Ogos 2016, terdapat sebanyak 70 buah negara yang telah melaporkan jangkitan virus Zika.

Di negara jiran, pihak berkuasa Singapura mengesahkan jangkitan virus Zika di negara itu meningkat setiap hari dan data terbaharu sebanyak 283 kes dicatatkan pihak berkuasa negara itu.

Kementerian Kesihatan memandang serius kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan, seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, bahawa jangkitan virus Zika telah merebak dengan begitu pantas sekali di benua Amerika.

Ini adalah kerana Kementerian berpandangan risiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas sebab-sebab berikut:-

1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk aedes.

2. Densiti nyamuk aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama.

3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas.

4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk aedes.

5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.

Agama Islam mengambil pendekatan pencegahan dalam menangani wabak dan jangkitan penyakit. Sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa menjadi keutamaan.

Dalam konteks ini kita digalakkan menjaga alam sekitar dengan tidak membuang sampah ke dalam longkang, sungai atau dilonggokkan di tepi-tepi jalan. Sikap buruk ini akan mencemarkan kawasan persekitaran rumah dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, serta menularnya wabak penyakit berjangkit seperti denggi, Zika dan malaria.

*Ruangan ini dikelolakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)