SEKIRANYA diamati, kebelakangan ini, dalam merencana dan membangunkan kaedah serta pendekatan pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan teknologi informasi, komunikasi dan multimedia yang kian canggih, umat Islam cenderung untuk mengutamakan pengasahan saluran dan tanggapan inderawi dan meminggirkan penghalusan bahasa yang mencirikan akal.

Akibatnya kini, bukan sahaja pelajar, tetapi juga pengajar, mudah bosan dan kurang tertarik dengan syarahan dan bacaan padat berisi untuk santapan budi, namun senang pula terpesona dengan paparan imej beraneka yang memukau indera.

Soalnya, jika kecenderungan ini dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, bagaimana mungkin umat Islam bangkit mencapai keluhuran akal dan kemuncak pemikiran?

Sangat penting umat Islam sedari bahawa agama Islam sejak awal menyedia dan memupuk umat Islam untuk mencapai tahap tertinggi dalam pemikiran yang benar murni.

Penyediaan dan pemupukan yang dimaksudkan di atas terlaksana melalui pemupukan dan pemeliharaan bahasa yang baik, yang khusus merujuk kepada bahasa Arab yang diolah suai Wahyu Terakhir, namun tetap merangkum semua bahasa umat Islam yang diorientasi semula oleh wahyu itu, termasuk bahasa Melayu.

Apa dimaksudkan dengan tahap tertinggi pemikiran? Penting untuk disedari bahawa pada peringkat tertinggi, pemikiran akan bersifat abstrak (atau dalam istilah Arabnya, mujarrad).Malah, yang benar-benar dapat bersifat abstrak atau mujarrad itu hanyalah perkara-perkara yang universal, atau kulli.

Perkara setulennya universal atau kulli ini pula tidak akan dapat secara langsung dilakar ataupun diukir untuk tanggapan inderawi tetapi hanya dapat difahami oleh akal, khasnya melalui olahan bahasa yang betul.

Kulli bermaksud “makna tersebut menyeluruh dan serba meliputi sebarang pena” manakala mujarrad pula bermaksud “makna demikian tiada dibataskan pada bahan tertentu pena dan tiada pula terikat dengan apa-apa perkara inderawi yang lazim mendampingi satu-satu pena seperti warna, ukuran, berat, dan yang sebagainya.”

Justeru, makna pena yang sedemikian bukan sahaja tiada terhad tertakluk kepada mana-mana pena tertentu, tetapi juga merentas sebarang rupa bentuk zahir pena yang ditanggap oleh deria insan.

Makna tersebut turut bersifat benar senantiasa, tidak subjektif (yakni: tiada bergantung pada peribadi insan tertentu), tidak juga relatif (iaitu: bukan bernisbahkan tempat atau masa tertentu).

Sifat mujarrad dan kulli ini juga jika diperhalusi, juga mencirikan dua teras agama Islam: keimanan dengan ALLAH dengan segala Sifat Kesempurnaan-Nya dan Nabi Muhammad SAW dengan seluruh sifat mulia pada dirinya, baik yang zahir mahupun batin.

Kalimah syahadah yang diulang sebut sekurang-kurangnya lima kali (atau 10 kali) sehari dalam setiap solat fardu menayangkan penegasan berterusan perihal dua teras itu.

Keimanan sedemikian pula diasas atas dasar ilmu, bukan ikut-ikutan. Malah, sangat ketara berbeza dengan penganut agama lain, umat Islam dilarang melakukan lakaran dan ukiran (yang bercirikan tanggapan inderawi) untuk memerihalkan ALLAH dan Rasul-Nya.

Sebaliknya, pemerihalan tersebut  dan kesedaran dalam diri mereka yang terbit daripada pemerihalan itu berlangsung tanpa putus melalui kata-kata yang tepat dan jelas; yakni, dengan bahasa yang dipelihara dan dipupuk dalam pendidikan pada pelbagai tingkat. Bahkan syahadah itu sendiri terdiri daripada kata-kata yang disedari dan dihayati.

Larangan penggunaan wahana yang mudah diterima deria insani (iaitu lakaran, ukiran dan yang seumpamanya), seiring dengan pemanfaatan sehabis mungkin wahana akal (yakni bahasa yang jelas dan tepat), dalam memerihal dan menyedari secara berterusan dua teras agama ini jelas menunjukkan Islam menyedia dan memupuk umatnya untuk mencapai tahap paling luhur dalam pemikiran, iaitu, tahap yang abstrak dan universal.