TAHUN 2017 semakin menghampiri penghujungnya. Sudah menjadi pengetahuan ramai bahawa PRU14 mesti diadakan pada tahun 2018. Justeru, dengan ketibaan tahun baharu ini, suhu politik di Malaysia bakal meningkat panas.

Bagi segelintir anggota masyarakat, perasaan gelisah dan resah dengan permainan politik yang tiada kunjung reda semakin bertambah.

Pada segolongan anggota masyarakat yang berumur pula, suasana politik sepanjang masa sememangnya begitu, meskipun kerisauan tentang untung-rugi dan baik-buruknya nasib agama, bangsa dan tanah air kerap melanda hati dan fikiran.

Sudah sekian lama politik dilihat sebagai sepak-terajang untuk mendapatkan kuasa dan setelah berjaya meraihnya, untuk kekal berkuasa pula. Kuasa sering memabukkan si penguasa.

Malah, oleh kerana sifat memabukkan yang lazim bersama kuasa dan pengaruh inilah maka sang penguasa sering tergelincir daripada landasan yang benar.

Namun, bagi orang-orang Islam yang sentiasa sedar akan ajaran agama mereka, al-Quran, khasnya melalui Surah al-A'raf (7): 20 dan Ta Ha (20): 120, telah lama mengkhabarkan tabiat inginkan kuasa dalam diri insan seawal pencipta insan pertama, Nabi Adam AS.

Malah, dalam kedua-dua peringatan Quran di atas, dikhabarkan bahawa iblis menggunakan rangkaian dua faktor iaitu kuasa dan kekekalan untuk menggoda dan seterusnya menggelincirkan pasangan Adam dan Hawa AS.

Kuasa untuk kekekalan sekali gus kekal untuk berkuasa, sememangnya rangkaian yang sungguh mempesonakan! Sekiranya ayat-ayat tersebut ditekuni pula dengan Surah al-Humazah (104): 2–3, maka akan semakin jelas petunjuk Quran bahawa wujud sebahagian manusia yang silap beranggapan bahawa harta kekayaan yang mereka kumpulkan dapat mengekalkan mereka.

Sangat penting untuk diperhatikan bahawa ketergelinciran Adam AS masih berlaku meskipun al-Quran dalam Surah al-Baqarah (2): 30–39 secara terang-terangan menobatkan baginda kerana ilmu yang ALLAH SWT kurniakan padanya, khasnya ilmu perihal sekalian nama (al-asma’ kullaha).

Malah, ekoran daripada kealpaan dan kekurangan azam Adam AS, ilmu yang diharapkan dapat memandu kelihatan masih belum mampu mengawal diri baginda daripada pesona dua faktor yang dimainkan dengan licik oleh Iblis sehingga menelanjangkan baginda dan pasangannya.

Apatah lagi dalam suasana semasa yang menganuti fahaman tertentu tentang ilmu sebagai kuasa (knowledge is power), usaha untuk mengendali serta memandu tabiat insan ini sesungguhnya semakin mencabar.

Bagaimana tidak mencabar, jika ilmu yang sepatutnya memimpin serta membimbing turut dapat disalahgunakan demi mengekal dan menambah kuasa! Apakah sudah tiada jalan bagi mengelakkan kemelut sedemikian?

Bagi menjawab soalan tersebut, sayugia diingati bahawa ilmu yang perlu dipupuk ke arah pengawalan sang penguasa dan si pemburu kuasa sesungguhnya bertitik-tolak daripada hakikat diri mereka jua.

Sememangnya wilayah pengaruh dan lingkungan kuasa yang paling hampir kepada setiap penguasa, bahkan setiap insan adalah diri masing-masing.

Perjuangan tiada berputusan untuk mengurus diri dengan betul ini telah diisytiharkan sebagai jihad terbesar.

Ilmu akhlak dalam Falsafah Ilmu Islam difahami sebagai 'ilm tadbir al-nafs, ilmu mentadbir diri yang merupakan dasar menerasi lapisan-lapisan ilmu berikutnya: 'ilm tadbir al-manzil (economics) dan seterusnya 'ilm tadbir al-khilafah atau 'ilm al-siyasah (politics).

Ilmu tersebut difahami sedemikian rupa kerana hubungan roh (juga akal) dan jasad yang mencirikan kesatuan diri insan juga difahami dalam ilmu kaji jiwa (psikologi) sebagai hubungan 'yang mentadbir' (akal) dan 'yang ditadbir' (jasad).  

Malangnya, kesinambungan sedemikian telah lama terputus dan tidak diendahkan.

Sekiranya diajar sekalipun, mutu pengisian dan pengolahannya dibiarkan terbantut pada peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Sudah agak lama ilmu akhlak (atau etika) tidak diajar secara giat dan dinamik sebagai ilmu utama pada peringkat pendidikan lanjutan, apatah lagi dalam sistem pemupukan pemimpin dalam pelbagai bidang.

Jika ditawarkan sekalipun pada tahap lanjutan, ilmu akhlak sudah tidak lagi menumpu pada pengenalan-pengawalan diri insan secara dalaman - rohani dan jasadnya sekali gus, tetapi sudah makin terbatas pada segi-segi luaran hubungan sesama insan dan kawalan undang-undang serta peraturan duniawi yang sering kali pula perlu berubah dan diubah kerana kelici-kan insan!

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)