MALAYSIA lahir dari semangat penerimaan dan rasa hormat yang tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Sejarah pada zaman penjajahan serta aktiviti perdagangan merupakan antara faktor yang membawa kepada kewujudan pelbagai kelompok etnik dan agama yang sudah menjadi sebahagian dari corak kehidupan rakyat Malaysia hari ini.

Ciri-ciri kemajmukan masyarakat negara ini sememangnya membentuk satu entiti sosial yang unik dan berbeza. Lazimnya, apabila berhadapan dengan landskap sosial yang sebegini, akan timbul cabaran-cabaran yang harus ditangani oleh pemimpin dan rakyat untuk meminimumkan konflik dan jurang perbezaan serta menggandakan usaha untuk memupuk perpaduan, keharmonian dan persefahaman.

Justeru,  perlu ada satu usaha yang serius dan jitu oleh semua pihak untuk menyemarakkan asas-asas perpaduan dalam masyarakat.

Keutamaan harus diberi kepada pembinaan sikap penerimaan diiringi dengan nilai keluhuran budi pekerti di kalangan masyarakat yang mempunyai budaya dan kefahaman agama yang berbeza. Ini adalah kerana keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman yang baik tentang peranan masing-masing untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam interaksi seharian. Rasa hormat kepada semua individu perlu menjadi sebahagian dari budaya dalam kalangan rakyat negara ini.

Kita seharusnya tidak membiarkan kebencian yang ditanam oleh orang lain menjadi punca kepada kebiadaban kita terhadap kelompok yang berbeza dari kita. Dalam Islam, kita disuruh untuk berlaku adil dan tidak membiarkan perasaan benci dan marah mempengaruhi tindakan kita. ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” :Surah Al-Maidah:Ayat 8

Perpaduan dan kestabilan sangat berharga bagi negara seperti Malaysia. Rakyat negara ini seharusnya berhenti sejenak dari terus membiarkan diri dari sentiasa dibelenggu oleh polemik politik kepartian dan memikirkan tentang hala tuju yang ingin dicapai sebagai sebuah negara.

Kita tidak akan dapat mampu berfikir dengan baik dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah perbezaan ini jika hati dan minda kita dipenuhi dengan rasa benci dan prasangka.

Dan kita juga tidak akan dapat bergerak maju bersama sebagai satu negara jika usaha mencapai perpaduan ini tidak menjadi agenda utama rakyat dan pemimpin negara ini. 

Keamanan, kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara tidak boleh dijadikan taruhan terutamanya oleh golongan pemimpin di semua peringkat. Pemimpin perlu ada rasa simpati terhadap rakyat yang dipimpin dan berusaha sebaik mungkin untuk menyatukan rakyat yang dilihat hanya sibuk membawa hala tuju dan memperjuangkan agenda kelompok masing-masing.

Harus ada satu usaha yang jitu untuk membina perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia agar negara ini terus memacu kejayaan. Rakyat juga harus sedar bahawa dalam usaha untuk Malaysia maju ke hadapan, akan ada anasir-anasir luar dan juga dalam negara yang sentiasa mengambil peluang menangguk di air yang keruh dalam apa jua keadaan bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat.

Sebagai rakyat yang kasihkan negara ini dan cintakan keamanan, adalah penting untuk kita sama-sama  berusaha memelihara kedaulatan negara dari dibinasakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan bersatu padu untuk diwarisi oleh generasi akan datang.


* Penulis Pegawai Penyelidik Kanan
Pusat Kajian Shari’ah, Undang-Undang dan Politik IKIM