SENADA dengan kejayaan menukar kerajaan, sebahagian rakyat menjangkakan keajaiban akan langsung terjadi terutamanya pemulihan segera taraf hidup dan penurunan kadar inflasi.

Namun hakikatnya perubahan tidak mungkin berlaku sekelip mata apatah lagi jika kekangan menghimpit di segenap penjuru. Berfikir kritikal perlu disertai dengan usaha untuk ‘tabyyun’ dan praktikal. Itulah cabaran yang dihadapi oleh negara dalam menangani pembangunan ekonomi seiring dengan ketelusan tadbir urus negara.

Tanggapan melulu sesetengah pihak dengan tujuan menimbulkan keraguan dan menghukum perlu diganti dengan ketulusan tekad, perancangan dan tindakan berkredibiliti secara bersama.

Keputusan menetapkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 0% adalah satu tindakan yang sangat wajar. GST dan rasionalisasi penghapusan subsidi minyak merupakan dua punca utama peningkatan kadar inflasi bagi tempoh suku tahun pertama 2018 ke tahap tertinggi sejak 10 tahun yang lalu.

Kenaikan harga barang dirasai oleh semua golongan tidak kira kaya atau miskin, isi rumah, perniagaan atau agensi kerajaan. Malangnya, golongan yang gagal melihat kewajaran penurunan kadar GST ini mempolemikkannya dengan menjadikannya bahan sebaran bagi menghilangkan keyakinan kepada kerajaan yang baharu. Tidak kurang juga terdapat sebilangan orang ramai meragui fakta-fakta berkaitan jumlah beban kewangan negara.

Kita perlu menyedari bahawa kesan domino pengenaan cukai yang dilaksanakan sejak April 2015 dan peningkatan kos pengangkutan ekoran pengapungan harga minyak, akan melalui kesan jangka panjang. Penurunan harga barangan dan kadar inflasi tidak boleh berlaku serta merta. Kos ini akan berlegar dalam rangkaian sektor pembekalan, kos dan penetapan harga sehingga impak penurunan berganjak seiring dengan pusingan kepenggunaan barangan atau perkhidmatan.

Manakala dalam penentuan kadar hutang sebenar negara pula, persoalannya ialah mengenai pemilihan teknik perakaunan iaitu antara hutang yang tertera (on book) dan hutang yang tidak dipamerkan dalam penyata kewangan (off book).

Hutang negara yang berpunca dari jaminan kerajaan, surat kesanggupan tertutup dan tanggungan hutang anak syarikat kerajaan juga merupakan beban kewangan negara. Walaupun teknik perakaunan ini mempunyai mekanisme yang berbeza tetapi impaknya sama iaitu negara perlu juga akhirnya melangsaikan hutang tersebut.

Negara berhadapan dengan risiko ketara kehilangan sumber pendapatan secara drastik akibat dari penetapan GST pada kadar 0%. Aliran masuk hasil kerajaan dan dalam masa yang sama berhadapan dengan hutang yang melebihi tahap wajar Pendapatan Dalam Negara Kasar (KDNK) bukanlah satu perkara mudah.

Dana alternatif dan pendapatan luar diikuti dengan menjuruterakan semula sistem dan mekanisme ekonomi negara perlu diusahakan. Penstrukturan semula hutang negara boleh dibuat dengan mengalihkan hutang berfaedah tinggi kepada suntikan dana baru atau pembiayaan baru pada kadar yang lebih rendah.

Penstrukturan semula cabang eksekutif, penyelarasan bidang kuasa dan penambahbaikan perlu dilaksanakan. Kajian terperinci jabatan, agensi dan kementerian adalah bagi mengoptimumkan fungsi dan kos. Bagi jabatan yang mempunyai kemampuan dan berdaya maju, berdikari melalui milikan perkongsian rakyat-kerajaan atau milikan bersama menerusi konsep wakaf boleh difikirkan.

Sejarah menyaksikan kegagalan beberapa langkah kerajaan terdahulu contohnya penswastaan yang menjerumuskan kepada monopoli harga perkhidmatan atau syarikat terbabit hanya akhirnya terlepas kepada pemilikan secara korporat.

Walau apa pun kesukaran yang dihadapi, kemelut kewangan ini tidak boleh mengabaikan nasib yang dihadapi oleh rakyat. Sebagaimana tenatnya negara berhadapan dengan masalah kewangan, begitu juga rakyat marhaen yang dihimpit kemiskinan dan kos sara hidup. Statistik dan demografi kemiskinan sebenar perlu dikaji agar kekeliruan yang berlaku dalam kes status kewangan negara tidak berlaku terhadap kadar kemiskinan rakyat.

Ketika negara terbeban dengan masalah kewangan, rakyat marhaen juga berhadapan dengan masalah kemiskinan. Mereka bukan sahaja berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dan kehilangan pendapatan akibat tiada peluang pekerjaan tetapi lebih parah lagi sebahagiannya tiada sumber makanan asas untuk meneruskan kehidupan.

Pendapatan dan jurang agihan yang tidak saksama jika dibiarkan, boleh mengancam keyakinan terhadap kerajaan, kestabilan masyarakat dan hubungan antara kaum.

Tanpa sumber pendapatan yang mencukupi, negara tersepit dalam mencaturkan agenda kebajikan dan keperluan asas rakyat. Ini juga akan membuka ruang kepada pihak tertentu menjadikannya sentimen dan propaganda demi kepentingan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, komitmen yang diberikan terhadap negara contohnya seperti sumbangan terhadap Tabung Harapan yang ketika makalah ini ditulis melebihi RM110 juta mampu mengurangi keperitan memulihkan kedudukan kewangan negara. Kalau bukan dari segi angka, sekurang-kurangnya dari sudut aspirasinya.

Negara bukan sahaja perlukan pemimpin yang amanah, hikmah dan telus, tetapi rakyat yang mampu membezakan antara kaca dan permata serta sanggup mengambil risiko dan cabaran bersama. Sifat ini bersesuaian dengan kaedah fiqh iaitu ‘al-ghurm bi al-ghumni’ (setiap keberolehan berserta risikonya).

Pengurusan diri dan pentadbiran negara berlandaskan nilai mampu merealisasikan apa saja matlamat yang ingin dicapai. Tidak dilupakan, rakyat perlu lebih celik teknologi untuk merebut peluang pembangunan sistem pemasaran dan transaksi atas talian, mudah alih dan tanpa tunai dalam era industri 4.0 ini.

* Penulis ialah Fellow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)