PERNAHKAH kita terfikir, makanan yang dibuang, dibazirkan atau hilang semasa pengeluaran memberi kesan kepada jaminan sekuriti makanan?

Kadar pembaziran dan kehilangan makanan di Malaysia amat membimbangkan kerana akan menimbulkan beban kepada kerajaan dalam pengurusan sisa dan mendatangkan impak daripada pelbagai sudut seperti ekonomi, kesihatan dan alam sekitar.

Makanan mewakili komposisi tertinggi di tapak pelupusan sampah iaitu sebanyak 45 peratus.  

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 peratus sisa makanan masih boleh dimakan semasa dibuang.

Statistik menunjukkan setiap isi rumah di Malaysia menghasilkan sebanyak 3,000 tan metrik sehari sisa makanan yang belum disentuh dan masih boleh digunakan.

Nilai tersebut cukup untuk memberi makan kepada dua juta manusia yang kelaparan.

Manakala di peringkat pemprosesan makanan, Malaysia kehilangan makanan hampir 28.5 peratus setiap tahun iaitu kira-kira 1/3 daripada pengeluaran makanan.

Ironinya, pada saat ramai lagi manusia yang tidak cukup makan dan mengalami kekurangan zat makanan, makanan masih banyak terbuang dan berterusan dibuang.

Dengan peningkatan penduduk dunia, permintaan terhadap bekalan makanan semakin bertambah.

Kecukupan bekalan makanan dapat dijamin dengan peningkatan pengeluaran, pengurangan kehilangan selepas penuaian dan kecekapan pengedaran dan penggunaan sumber makanan.

Penggunaan makanan melebihi daripada keperluan merupakan satu pembaziran sumber alam.

Ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan manusia bahkan turut menjejaskan kesihatan alam sekitar dan sumber alam yang lain seperti tanah, air, udara dan tenaga.

Impak tersebut membentuk satu kitaran sebab dan akibat yang akhirnya berbalik semula kepada kemerosotan kualiti kehidupan dan kesihatan manusia.

Dalam Islam, pembaziran amatlah dilarang sehinggakan ALLAH menyifatkan orang yang suka membazir adalah saudara kepada syaitan sepertimana yang terakam dalam Surah al-Isra’ ayat 27.

Pembaziran dan kehilangan makanan memberi kesan kepada jaminan sekuriti makanan.

Masalah sekuriti makanan menjadi lebih serius disebabkan oleh pembaziran dan kegagalan pengurusan sumber makanan.

Situasi ketidakstabilan ini adalah disebabkan oleh masalah ketersediaan dan penggunaan makanan yang menjadi faktor jaminan sekuriti makanan sama ada di peringkat individu, isi rumah mahupun negara.

Pembaziran makanan berpunca daripada sikap dan cara berfikir seseorang manakala kehilangan makanan dipengaruhi oleh perkembangan teknologi yang diaplikasikan sepanjang rantai bekalan makanan.

Justeru, masalah pembaziran bukan hanya berlaku di peringkat pengeluaran tetapi juga di peringkat penggunaan makanan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), pembaziran makanan berlaku dalam kalangan pengguna menghampiri 150 kg setahun bagi setiap isi rumah.  

Hal ini sewajarnya dititikberatkan oleh setiap individu dalam menjamin sekuriti makanan supaya tidak terjejas.

Ini kerana masih ramai yang amat memerlukan sesuap makanan demi kelangsungan kehidupan.

Disebabkan ketidakcukupan bekalan makanan, satu daripada sembilan dalam populasi dunia mengalami kelaparan manakala satu daripada tiga orang mengalami malnutrisi.

Sikap dan gaya hidup masyarakat akan menyumbang kepada keadaan sekuriti makanan.

Kehilangan makanan yang berlaku di peringkat pemprosesan perlu diminimumkan melalui usaha penambahbaikan teknologi.

Dalam kapasiti dan skala yang lebih kecil, langkah mengatasi pembaziran di peringkat individu dan isi rumah amat penting.

Pembaziran perlu dielakkan dengan mengutamakan keperluan. Langkah kecil yang bermula dari rumah akan memberi kesan besar kepada masyarakat, negara dan alam sekitar.

Dengan kadar pembaziran dan kehilangan makanan yang berterusan tanpa ada langkah pengurangan dan perubahan kepada sikap serta gaya hidup, akan mengancam sekuriti makanan negara.

Oleh itu, setiap individu perlu ada kesedaran untuk memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan pembaziran seterusnya membasmi sikap yang amat merugikan tersebut.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia