KEDATANGAN Rasulullah SAW dan penetapan Sunnah Baginda menandakan perpisahan daripada gaya hidup kaum Musyrikin Quraisy yang bukan sahaja ketinggalan zaman namun juga zalim dan merosakkan.

Bagi menampung urus niaga dalam suq yang diasaskan dengan tujuan memecahkan monopoli ekonomi tidak adil yang diamalkan sekian lama, mata wang Denarius Emas Rumawi dan Drakhma Perak Parsi Sassaniyah, setiapnya lazim dan terkenal dalam kalangan bangsa Arab sebagai Dinar dan Dirham, dipilih sebagai mata wang diiktiraf.

 Perkataan ‘karat’ berasal daripada perkataan Arab qirat, iaitu satu unit berat yang diukur dari biji karob. Berat Dinar ditetapkan 24 qirat bersamaan dengan 4.5 gram emas tulen.

Menurut Imam al-Ghazali (w. 1111 M) dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, ALLAH ‘azza wa jalla menjadikan emas dan perak dengan peranan sebagai penentu nilai yang adil dalam perdagangan dalam kalangan manusia.

Al-Quran mengiktiraf tarikan semula jadi manusia terhadap galian berkilauan dan menyebutkan ganjaran syurgawi berbentuk emas, perak, dan perhiasan bertatahkan permata untuk para salihin di akhirat.

Walau bagaimanapun, al-Quran melaknat para pengumpul emas dan perak di dunia ini terutamanya golongan yang menahan perbelanjaan di jalan ALLAH (9:34-35).

Menurut Imam Fakhr al-Din al-Razi (w. 1209) dalam tafsirnya Mafatih al-Ghayb, cinta kebendaan yang melampau mendorong manusia untuk mengejar kekayaan tanpa batasan sehingga menyebabkan orang lain terhalang daripada memperoleh hak seadilnya.

Sejarah merakamkan pemalsuan duit syiling dengan cara mencampurkan logam lain yang kurang bernilai. Oleh kerana sifat fizikal emas tulen adalah lembut, gigitan pada duit syiling yang meninggalkan tanda adalah teknik bagi mendedahkan wang palsu.

Kualiti syiling emas tulen merosot dari semasa ke semasa ia bertukar tangan. Oleh itu, cukai merupakan cara mengutip syiling terpakai demi menjaga keutuhan syiling individu.

Syiling diganti baharu dalam bentuk gaji dan pembayaran tunai bagi mengekalkan aliran bekalan wang.

 Pada abad ke-17 dan ke-18, rancangan pematematikan Rene Descartes dan Isaac Newton membawa gambaran termekanik dunia.

Hasilnya, benda fizikal mudah dipecahkan kepada bahagian-bahagian dan diabstrak secara matematik termasuklah wang yang turut diabstrak dari nilai dalamannya.

Penyahwangan (demonetization) mengeluarkan wang lama dari edaran dan menggantikannya dengan cetakan baharu yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini untuk mencegah pemalsuan.

Justeru, percukaian bukan sekadar cara untuk menjana pendapatan bagi membiayai kegiatan ekonomi demi kemaslahatan masyarakat, bahkan ia sewajarnya menjadi sebahagian daripada sistem kewangan menyeluruh yang melindungi integriti wang secara individu.

Kemunculan elektronik dan era digital membolehkan wang dipindahkan segera merentas dunia.

Ia terlaksana kerana adanya sistem yang dapat memastikan keselamatan dan integriti nilai kewangan secara konsisten.

Walau bagaimanapun, sebagaimana juga wang syiling, sistem kewangan digital turut terdedah kepada tipu daya yang berkemungkinan menggugat peranan wang sebagai penentu nilai yang adil, dengan itu mencabar kedaulatan sesebuah negara dalam memastikan integriti mata wangnya.

Mata wang kripto yang dibina dari sistem maya dan matematik abstrak hanya boleh berfungsi dengan baik setakat mana ia dijamin selamat dan tekal.

 Sejarah mengingatkan bahawa sebarang peraturan ciptaan manusia masih tertakluk dengan kelemahan dan tipu daya manusia.

Sistem dalam teknologi kewangan yang kian meningkat rumit mendesak keperluan untuk lebih ramai pakar dan ilmuwan yang tidak hanya memahaminya secara keseluruhan bahkan juga terdidik dengan ilmu asas agama dan akhlak yang mencegah kerosakan dan menghindar keburukannya.

* Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar IKIM
* Artikel ini dikelolakan oleh IKIM