ALHAMDULILLAH, kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan penuh barakah, Ramadan al-Mubarak. Semestinya bulan Ramadan ini amat dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana pada bulan ini terkandung pelbagai ganjaran dan kebaikan yang dijanjikan oleh ALLAH SWT kepada mereka yang berpuasa.

Matlamat utama ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain dalam Ramadan adalah untuk mencapai ketakwaan. Ini seperti yang disebutkan dengan jelas dalam ayat 183 Surah al-Baqarah apabila ALLAH SWT memfardukan ibadah puasa ini, mafhumnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”

Puasa juga merupakan ibadah yang dilakukan bagi memperoleh keredaan ALLAH SWT. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, berkat Rasulullah SAW bersabda, “ALLAH berfirman: Semua amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

Sememangnya ganjaran yang menanti dalam bulan mulia ini amat besar bagi mereka yang berjaya memanfaatkan kelebihan Ramadan. Hanya ALLAH jualah yang mengetahui mengenai balasan pahala yang diberikan kepada hamba-Nya yang berpuasa Ramadan.

Pada waktu yang sama, ibadah puasa juga memberikan pelbagai kebaikan dari sudut kesihatan. Paling utama adalah dengan berpuasa, kita memberikan ruang kepada sistem pencernaan tubuh untuk berehat selepas bekerja kuat sepanjang tahun.

Puasa juga membantu proses menyahtoksikkan atau membuang bahan-bahan beracun daripada badan kita. Apabila organ-organ tubuh berehat sewaktu berpuasa, ini akan menggalakkan proses nyah toksin berlaku dengan lebih cekap. Ini mampu menyumbang ke arah kesihatan tubuh badan yang lebih baik.

Sekiranya puasa dilakukan dengan betul, ia boleh melatih kita untuk menjadi orang yang sabar, tenang dan tabah. Latihan ini sebenarnya merupakan satu bentuk tarbiah yang mampu menyumbang kepada kesihatan mental dan emosi yang lebih baik.

Antara perkara yang menjadi perhatian sesetengah orang dalam Ramadan ini adalah peluang untuk menurunkan berat badan apabila berpuasa. Ini kerana kita tidak makan dan minum kira-kira 14 jam pada siang hari. Apabila ibadah ini dilakukan selama sebulan, pastinya berat badan akan turun.

Kesempatan menurunkan berat badan dilihat sebagai satu perkara yang positif. Berpuasa menyediakan ruang bagi kita untuk mengawal berat badan supaya menghampiri berat yang lebih ideal. Berat badan yang ideal menyumbang ke arah kesihatan yang lebih baik.

Perkara-perkara yang dinyatakan tadi merupakan sebahagian daripada kelebihan puasa dari sudut kesihatan. Berdasarkan pelbagai kajian saintifik yang dijalankan, sememangnya manfaat puasa kepada kesihatan fizikal dan mental tidak dapat dinafikan.

Bagaimanapun, adalah penting bagi kita untuk memastikan agar ibadah puasa yang dilaksanakan dipasang dengan niat yang betul. Maksudnya di sini, kita berpuasa hanya kerana ALLAH SWT, dan bukannya kerana perkara-perkara lain.

Kita mahu memperoleh ganjaran pahala yang dijanjikan oleh ALLAH SWT sepanjang bulan yang penuh berkat ini. Kita juga mahu mendapat keredaan-Nya. Maka, sewajarnya niat yang kita semat dalam hati untuk berpuasa perlulah betul dan ikhlas.

Kita pastinya tidak mahu puasa kita sia-sia dengan hanya mendapat lapar dan dahaga. Dalam konteks ini, kita perlu berpandukan kepada peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Thabarani yang bermaksud, “Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

Andai kata niat puasa kita adalah kerana mahu kurus atau menurunkan berat badan, maka itu sahajalah yang kita akan peroleh. Sebaliknya jika kita berniat melakukan puasa semata-mata kerana ALLAH SWT, insya-Allah bukan sahaja kita diberikan ganjaran dalam bentuk pahala, malahan juga pelbagai hikmah dan faedah lain yang datang bersama pelaksanaan ibadah puasa.

Justeru, marilah kita perbetulkan niat dalam melaksanakan ibadah puasa dengan harapan kita mampu menjadi orang yang bertakwa, insya-Allah.

* Penulis ialah Felow Kanan/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
* Ruangan ini dikelolakan oleh IKIM