PENYALAHGUNAAN dadah di negara ini merupakan satu fenomena yang membimbangkan semua pihak. Setiap kali statistik dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ia menunjukkan arus yang sama iaitu peningkatan kes yang direkodkan.  

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Jun 2017 menyatakan jumlah penangkapan penagih dadah pada 2016 bertambah kepada 30,844 orang berbanding 26,000 orang pada 2015. Golongan remaja termasuk pelajar sekolah tidak terlepas daripada gejala salah guna dadah.  

Berdasarkan kenyataan Ke-menterian Pendidikan (KPM), terdapat 1,252 pelajar yang ma-joritinya di tingkatan empat dan lima telah mengambil dadah sepanjang tempoh empat bulan pertama pada 2017. Golongan pelajar yang terjebak ini banyak mengambil dadah jenis methamphetamine atau juga dikenali sebagai syabu. Dadah sintetik ini mendorong penggunanya bersifat agresif berbanding dadah tradisional seperti heroin yang lebih membawa kepada khayal.

 Oleh itu tidak hairan dewasa ini terdapat kes pelajar bertindak di luar jangkaan termasuk memukul ahli keluarga kerana pengaruh syabu.

Terdapat pelbagai punca pelajar terjebak dalam gejala salah ini. Ia termasuk mereka mempunyai sikap yang tidak sihat. Sikap mereka terbentuk daripada gaya hidup masyarakat sekeliling. Apabila cara berfikir dan budaya negatif lebih menjadi ikutan, akhirnya ia akan menjerumuskan mereka kepada gejala ini.

Faktor lain ialah pengaruh kawan-kawan. Pelajar biasanya akan membentuk kelompok mereka berdasarkan sesuatu minat. Pelajar yang suka merokok akan bergaul, menghabiskan masa melepak sesama mereka. Rakan turut dijadikan tempat untuk meluahkan masalah diri. Akhirnya, masing-masing akan merangsang yang lain untuk mencuba sesuatu yang baharu termasuk salah guna syabu.

Keluarga bermasalah turut menjadi pendorong kepada salah guna dadah. Ini termasuk ibu bapa yang bercerai, sibuk dengan kerja sehingga tiada masa mendengar masalah dan keperluan anak-anak.

Secara amnya, penyakit ma-syarakat termasuk terlalu bersifat individualistik menyebabkan me-reka tidak lagi mengendahkan pembabitan pelajar dalam budaya negatif di khalayak.

Kesimpulan yang dapat diambil ialah faktor pendorong kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar banyak dipengaruhi oleh masyarakat.  

Oleh itu masyarakat perlu bertindak dan berubah bermula daripada pemimpin, ibu bapa, guru, persatuan ibu bapa, persatuan perumahan serta pertubuhan sosial untuk bertindak lebih proaktif mencari penyelesaian kepada gejala ini. Masyarakat perlu prihatin menjaga kebajikan pelajar dalam kapasiti masing-masing.

Masyarakat tidak boleh mele-paskan tanggungjawab mengawasi pelajar kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata kerana skop tugasan mereka lebih luas.

Setiap komponen masyarakat perlu prihatin menganjurkan aktiviti sama ada bersifat kero-hanian dan sebaliknya untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada pelajar.

Ibu bapa perlu meluangkan lebih masa berkualiti dengan anak-anak. Ini sesuai dengan saranan al-Quran yang bermaksud, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada ALLAH.” - Ali Imran, 3: 110.