ISLAM melihat kehidupan seorang Muslim sebagai satu kehidupan dalam mencari keredaan Ilahi dalam setiap masa dan ruang serta dalam apa jua aktiviti kehidupan yang mereka lakukan. Ia meliputi apa yang mereka buat dan apa yang mereka ucapkan serta fikirkan. Begitu jugalah, pekerjaan yang mereka lakukan juga merupakan satu ibadah yang akan memperoleh keredaan daripada ALLAH SWT.

 Walau bagaimanapun, ciri-ciri pekerjaan tersebut perlulah menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam dan tidak melanggar batasan syariatnya. Antara lain ia perlulah merupakan satu pekerjaan yang halal, dilakukan secara baik, dan tidak menzalimi orang lain, tiada berlaku sebarang penipuan dan tidak mengabaikan ibadah fardu yang wajib diutamakan ketika melakukan pekerjaan tersebut.

Pekerjaan dalam Islam juga perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaatan serta keakuran disiplin yang tinggi bagi meningkatkan produktiviti sebagaimana unjuran untuk melaksanakan pekerjaan secara lebih baik, dan hasil yang diperoleh pada hari ini adalah lebih baik dari semalam, manakala hasil esok pula seharusnya perlu lebih baik dari apa yang diperoleh pada hari ini.

Manakala amalan dan sifat keadilan kepada semua aspek pekerjaan dan individu pekerja tidak diabaikan. Amalan wasatiyyah atau kesederhanaan juga merupakan satu konsep yang baik kepada pekerjaan dan organisasi serta berperanan dalam mengawal kegiatan pembaziran atau berlebih-lebihan dalam pekerjaan.

Pembaziran bukan sahaja perlu dilihat dalam konteks perbelanjaan, tetapi juga sumber guna tenaga individu pekerja, agar tidak terdapat golongan pekerja yang berasa terpinggir dan tidak digunakan, juga bagi mengelakkan golongan pekerja yang berasa diri mereka sebagai terlebih guna, seterusnya dapat mengelakkan gejala diskriminasi.

Wasatiyyah juga perlu diaplikasikan dalam konteks pembahagian bebanan tugasan dan keseimbangan kerjaya serta kehidupan.

Sebagai individu Muslim, kita memahami bahawa semua itu adalah asas kepada kesejahteraan, ketenangan dan kegembiraan yang dituntut Islam untuk direalisasikan dalam pekerjaan. Atas sebab inilah Islam melihat pekerjaan sebagai satu daripada cara umatnya untuk mendapatkan keredaan Ilahi.

Umat Islam juga perlu menge-tahui dan memahami atau cuba untuk menetapkan kefahaman dalam diri dan pemikiran mereka bahawa pekerjaan yang mereka lakukan secara menuruti ketetapan ajaran Islam serta tidak menyalahi syariat itu sebenarnya boleh membawa kepada kesejahteraan dalam diri dan kehidupan mereka, malah juga kepada seluruh alam.

Hakikatnya, kesejahteraan itulah yang dianjurkan sebagai matlamat utama kehidupan dalam Islam, iaitu sejahtera dan selamat di dunia dan di akhirat. Ia juga bersesuaian dengan takrifan istilah Islam itu sendiri, iaitu sebagai satu agama yang menganjurkan ajaran dan amalan kesejahteraan kepada seluruh umat manusia dan bagi sekalian alam.

Ini bermakna, pekerjaan yang dilakukan oleh umat Islam yang soleh dan bertakwa akan membawa kepada kesejahteraan kepada persekitaran pekerjaan dan juga kepada organisasi di mana mereka bekerja.

Kesejahteraan memang ber-kaitan dengan kesihatan, kerana kesejahteraan itu yang akan memotivasikan diri dan mendorong kepada amalan gaya hidup yang lebih sihat.

Lantaran itu, pekerjaan dalam Islam juga merupakan jaminan bagi memperoleh sejenis pekerjaan yang sihat, atau yang mendatangkan kesan yang baik dan positif kepada tahap kesihatan seseorang individu pekerja.

Namun, pekerjaan yang sihat dan menyihatkan hanya akan diperoleh apabila individu itu memahami bahawa kesejahteraan dalam pekerjaan itu sebenarnya satu tuntutan ibadah yang membawa kepada keredaan ALLAH.