MALAYSIA telah dibariskan sebagai negara keempat paling bahagia di Asia, di belakang Singapura, Thailand dan Taiwan. Laporan Kebahagiaan Sejagat 2017 oleh Jaringan Huraian Pembangunan Lestari (SDSN) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menempatkan Malaysia di tangga ke-42 daripada 155 negara, mendahului Jepun (51), Korea Selatan (56), Filipina (72), China (79) dan Indonesia (81). Singapura berada di tempat ke-26, Thailand 32 dan Taiwan 33.

Menurut Pengarah SDSN, Jeffrey Sachs kepada agensi berita Reuters, ‘negara-bahagia’ menyeimbangkan kekayaan kewangan seperti ukuran biasa, dengan kekayaan sosial yakni tahap kepercayaan yang tinggi dalam kalangan rakyat, ketidakadilan berlaku hanya pada aras rendah, dan keyakinan terhadap kerajaan. Sachs juga merupakan penasihat khas kepada Setiausaha Agung PBB. 

Pemeringkatan negara-negara diukur berdasarkan enam faktor: keluaran dalam negara kasar per kapita, jangka hayat sihat, dukungan masyarakat (ukurannya jika boleh berharap kepada orang lain pada waktu kesusahan), keyakinan rakyat awam (ukurannya melalui sejauh mana rasuah dilihat tidak berlaku dalam kerajaan dan swasta), sejauh mana dirasakan ada kebebasan untuk membuat keputusan dalam kehidupan, dan sokongan kebaktian (diukur melalui kegiatan derma baharu-baharu ini).

Lima negara iaitu Bhutan, Ecuador, Scotland dan UAE telah mengorak langkah melantik Menteri Kebahagiaan bagi menggalakkan kebahagiaan dalam dasar dan polisi awam. Dubai pula merancang ke arah menjadi bandar raya paling bahagia di dunia menjelang 2020.

Bagaimana Islam mentakrif bahagia? Islam menggalakkan kesejahteraan atau istilah al-Qurannya salam. Ia disebut di lebih empat puluh tempat dalam al-Quran dan menjadi panji-panji sapaan orang Islam atau assalamualaikum.

Salam setepatnya bererti ketenangan, kesihatan (kecergasan badan dan kecerdasan akal), kehormatan, keamanan, dan kejujuran. Lebih daripada ketenangan dalam erti peribadi yang sempit seperti biasa difahami, salam merangkum ketenteraman zahir dan batin daripada segala keburukan jasmani dan rohani.

Salam juga meliputi keselamatan perseorangan dan kemasyarakatan, seperti sabda Nabi SAW; “Seseorang itu tidak dihitung sebagai Muslim hinggalah manusia selamat daripada kejahatan tangan dan lidahnya. Seseorang itu tidak meraih darjat mukmin hinggalah jiran-jirannya selamat daripada kejahatannya.” 

Salam bermakna ketulusan rohani dan kebebasan sejati - kemerdekaan daripada kebejatan akhlak dan kebobrokan pekerti; kebebasan melalui tuntutan ilmu yang sebenar lagi bermanfaat, pelaksanaan amalan yang salih, dan keikhlasan terhadap semua hidupan.

Salam bererti damai dengan Tuhan, alam persekitaran tabii, dan dalam diri sendiri.

Musuh kepada kedamaian sedemikian adalah ideologi-ideologi sekular yang percaya bahawa cuma kemajuan material sahajalah yang penting. Sekularisme hanya memperjuangkan keselesaan, harta-benda, penguasaan manusia lain dan alam, dan kemajuan teknologi tanpa henti. 

ALLAH SWT memberi amaran kepada manusia; “Kamu telah disibukkan oleh tamak haloba untuk kebendaan lagi dan lagi, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (Surah al-Takathur, 102: 1-2). Justeru, pengamatan Muhammad Asad, bahawa ayat ini menjelaskan sifat tamak haloba manusia amnya, dan khasnya kecenderungan materialisme yang telah menjajah semua masyarakat dalam zaman teknologi kini.

* Penulis ialah Felow Utama/Pengarah, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).