KALAU kita selidiki dengan teliti makna al-Quran dan faham-faham yang berkaitan dengannya kita akan dapati betapa meleset dan hampanya kefahaman kebanyakan kaum Muslimin hari ini terhadap Kitab Suci itu. Kemelesetan dan kehampaan faham itulah yang menjadi hijab yang menghalang mereka daripada memperoleh petunjuk al-Quran dalam kehidupan mereka. 

Yang terhimpun pada al-Quran itu adalah keyakinan dalam kalbu perihal sifatnya sebagai kalam ALLAH kepada manusia, ia dibaca dengan lidah, dihafaz kalimahnya dalam ingatan, disuratkan pula di atas lembaran-lembaran agar tidak hilang kerana ia adalah penyelamat manusia, yang menjadi petunjuk ke jalan yang lurus. Jika demikian, tujuannya dibaca, dihafaz dan ditulis adalah untuk difahami sebenar-benar isi kandungannya agar dapat diamalkan segala tuntutannya.

Sayugia kita fahami baik-baik bahawa apa yang terkandung dalam kitab al-Quran itu adalah ayat-ayat, ertinya lambang-lambang yang mengisyaratkan sesuatu yang lain. Demikian jugalah alam yang luas terbentang ini; setiap satunya adalah juga ayat yang melambangkan sesuatu makna. Ayat-ayat itu kesemuanya untuk dibaca dan difahami maknanya oleh manusia. Perbuatan membaca dan memahami itu dituntut sebagai syarat untuk menyampaikan manusia kepada maksud ayat-ayat itu diberikan kepada manusia. 

Sebagai ayat, ia menunjukkan kepada yang lain dari dirinya, bukan kepada dirinya sendiri. Yang lain itu adalah pengertian ataupun maknanya, dan kemuncak kepada segala makna itu adalah diri pengarangnya. Ayat-ayat itu sepatutnya menunjukkan kepada setiap yang membacanya kepada pengarangnya, bukan kepada yang lain. Jika tidak, maka nyatalah bahawa pembacanya sudah menyeleweng dari maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat-ayat itu.

Bukan sedikit manusia yang telah diperdayakan oleh keindahan ayat-ayat yang dibacanya itu sehingga mereka dibutakan dari hakikat yang ditunjukkan olehnya. Itulah yang berlaku kepada mereka yang mengkaji ayat sebagai ayat, seolah-olahnya ayat itu menunjuk kepada dirinya sendiri. 

Demikianlah hal keadaan mereka yang kagum dengan keindahan ayat (sama ada ayat-ayat al-Quran mahupun ayat-ayat alam semesta) dan sibuk mengkaji serta menikmatinya sedangkan mereka lupa sama sekali terhadap hakikat yang ditunjukkan oleh ayat-ayat tersebut. Mereka ini adalah orang-orang yang lalai (ghafilun), dan mereka ini dicela oleh al-Quran sebagai golongan yang tidak berakal dan lebih sesat daripada haiwan. Sebab itulah kita katakan bahawa sebarang kajian terhadap sesuatu bahan kajian (sama ada terhadap al-Quran sebagai kitab yang ditanzilkan ataupun alam semesta sebagai kitab terbuka) yang tidak membawa kepada pengenalan terhadap hakikat teragung yang ditunjukkannya adalah merupakan pengkajian yang sia-sia, menjauhkan pengkajinya dari kebenaran.

Sememangnya ayat-ayat al-Quran itu indah dan mengasyikkan apabila dibaca dan didengar, sebagaimana terpesonanya seseorang menikmati keindahan alam buana ciptaan Ilahi. Namun, apabila keasyikan itu akhirnya menjadi hijab atau penghalang kepadanya dari mengenal hakikat maka bacaannya itu bertukar menjadi suatu yang tercela. Bacaan sebegitu bukanlah bacaan sebenar seperti yang dikehendaki. Bacaan yang dikehendaki adalah bacaan yang membawa kepada kefahaman yang benar terhadap makna-maknanya agar dapat diamalkan tuntutannya seperti yang dikehendaki. Oleh sebab itulah maka al-Quran menjelaskan perbezaan antara ayat-ayat yang jelas maksudnya (muhkamat) dan ayat-ayat yang samar-samar maksudnya (mutashabihat). Ayat-ayat itu mesti ditafsirkan maknanya, dan segala makna yang kabur dan tersembunyi itu pula hendaklah dita’wilkan berdasarkan ayat-ayat yang jelas makna dan tafsirannya. 

Hari ini amat sedikit yang memahami hakikat ini. Akibatnya, al-Quran bukan sahaja tidak dipelajari dengan niat untuk difahami maksudnya, bahkan ia hanya dihafaz kalimahnya dan dipelajari ragam bacaannya hanya untuk dipertandingkan, untuk bermegah-megah dengan pangkat dan gelaran, dan bagi mendapat pujian dan kemasyhuran di mata orang ramai yang jahil. Alangkah besarnya tipu-daya yang menimpa mereka ini.