AUTOMASI yang diistilahkan sebagai ‘penggunaan secara meluas alat-alat automatik dalam sistem pembuatan atau proses-proses pengeluaran’ terbukti berguna dalam mengambil alih kerja-kerja berat dan bahaya untuk dilaksanakan oleh manusia termasuklah perlombongan, pembinaan struktur besar, dan kerja-kerja penyelamatan dalam kebakaran dan kemalangan.

Stephen Hawking, seorang ahli fizik teori terkemuka di Barat, menyatakan pada 2015: “Sekiranya jentera menghasilkan segala keperluan kita, maka hasilnya akan bergantung kepada bagaimana barang keperluan diagihkan. Semua orang boleh menikmati kehidupan yang bersenang-lenang dan bermewah-mewah sekiranya kekayaan hasil jentera dikongsi bersama, atau semua orang akan menderita kemiskinan sekiranya para pemilik jentera berjaya melobi menentang pengagihan kekayaan. Setakat ini, gayanya lebih menjurus kepada keadaan yang kedua, dengan teknologi memacu ke arah ketidaksamaan yang kian meningkat.”

Ramalan tentang teknologi dan automasi bakal mengambil alih kerja-kerja manusia telah pun dibuat sejak 1930-an lagi oleh seorang pemikir dan ahli falsafah teknologi Amerika, Lewis Mumford, dalam karya-karya besar beliau - Technics and Civilization dan seterusnya The Myth of the Machine.

Keghairahan menuju kepada ekonomi berintensifkan modal mewujudkan jurang kekayaan besar yang kian meningkat disebabkan kehilangan pekerjaan disebabkan automasi. Hindustan Times melaporkan pada Disember 2016 bahawa peratus pengangguran tinggi di negara-negara Eropah, seperti Itali sebanyak 33 peratus dan Sepanyol sebanyak 44 peratus.

Laporan Oxfam, An economy for the 99 percent, yang dibincangkan dalam Davos Summit menyebutkan bahawa di dunia kekayaan 3.6 bilion manusia kini bertumpu di tangan hanya  lapan orang. Tampaknya Barat terlampau mementingkan kemajuan sains dan teknologi sehingga gaya terkini seolah-olah mereka sanggup menggantikan seluruh tenaga kerja dengan automasi dan robot jika boleh.

Automasi bukanlah masalah yang baharu dalam sejarah peradaban Islam. ‘Ilm al-hiyal ialah disiplin membina automasi terawal yang dikenal sebagai al-alat al-mutaharrik bi dhatiha (alat yang bergerak dengan sendirinya). Namun, Islam menekankan peranan manusia itu sendiri dalam memakmurkan alam yang menjadi pekerjaan baginya. Kerja menjadi suatu perkara yang mulia dan tiada terpisah dari  ibadah  kepada Pencipta yang menjadikannya.

Firman ALLAH dalam Surah al-Mulk “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Bahkan, setiap hari orang Islam mengikrarkan “Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hayatku, dan matiku adalah untuk ALLAH Tuhan Sekalian Alam” -Surah al-An‘am:162.

Hari ini kita lebih memerlukan kebijaksanaan para ulama terdahulu yang terakam  dalam karya-karya penting seperti Al-Hathth ‘ala al- Tijarah wa-al-Sina’ah wa-al-‘Amaloleh al-Khallal dan Kitab Adab al-Kasb wa’l-Ma‘ash oleh Imam al-Ghazali dalam membimbing pertimbangan keperluan automasi dan kerja.