SEJAK akhir-akhir ini terdapat perkembangan yang baik dan memberangsangkan berkaitan pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia.

Misalnya pengasingan sisa di punca secara mandatori di enam buah negeri dan dua buah Wilayah Persekutuan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar di Hang Tuah Jaya, Melaka dan Sepang, Selangor serta tenaga hidro di pelbagai empangan, implementasi Indeks Bangunan Hijau (green building index), penggunaan tenaga solar serta pengumpulan air hujan di bangunan-bangunan dan sebagainya.

Dalam masa sama, isu-isu alam sekitar masih terus menjadi antara tema perbincangan utama di akhbar, media sosial mahupun perbincangan bersifat akademik dan tidak akademik.

Antara isu tersebut ialah pencemaran bauksit, jerebu, pelepasan korban dioksida, penderaan haiwan, pencemaran dan kekurangan sumber air, banjir, tanah runtuh, pelepasan bahan berbahaya oleh industri dan sebagainya.

Dua keadaan yang ditunjukkan ini membuktikan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan kemapanan alam sekitar di Malaysia.

Selain pendidikan dan program kesedaran di semua peringkat lapisan masyarakat misalnya orang awam, pelajar, pendidik serta pentadbir negara, kekuatan dan keberanian pemerintah untuk meletakkan peraturan yang lebih keras ke atas penjejasan alam sekitar juga amat diperlukan.

Kenapakah kita memerlukan peraturan yang lebih keras serta ketegasan untuk melaksanakan peraturan tersebut? Peraturan sebenarnya adalah sesuatu yang alamiah kepada manusia.

Tanpa peraturan yang ditetapkan oleh orang lain, diri kita sebagai individu, telah secara semula jadinya mempunyai peraturan yang kita tetapkan sendiri. Jadi, kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan daripada peraturan.

Tanpa peraturan, hidup manusia mungkin akan menjadi lebih buruk daripada kehidupan haiwan. Hidup sebagai seorang Muslim juga mempunyai pelbagai peraturan yang perlu dituruti. Tanpa mematuhi peraturan itu, layakkah kita memanggil diri kita sebagai seorang Muslim yang baik?

Dalam konteks pemuliharaan alam sekitar, peraturan yang tegas pastilah untuk memastikan alam yang kita huni ini dapat dipelihara “kesihatannya.” Usaha ini bukan sahaja untuk kepentingan alam ciptaan Ilahi ini tetapi untuk kesejahteraan manusia, masa kini dan masa akan datang.

Mempunyai peraturan yang tegas dan keberanian serta kebijaksanaan melaksanakan peraturan tersebut pula adalah dua perkara yang berbeza. Soalnya, adakah kita cukup berani untuk melaksanakan peraturan dan undang-undang yang telah kita cipta? Dalam konteks ini, tiada gunalah peraturan yang baik jika kita tiada “rasa” untuk melaksanakan peraturan tersebut dengan penuh amanah.

Amanah adalah satu perkataan yang mulia bagi yang memahami dan menghayatinya tetapi berat bagi manusia yang lupa. Amanah yang tidak ditegakkan, akan merosakkan diri sendiri dan juga keseluruhan ahli masyarakat, di zaman ini dan juga generasi di zaman akan datang.

Malah, lebih tinggi kedudukan individu tersebut, maka lebih luaslah kemusnahan yang bakal berlaku akibat perlanggaran amanah. Lihatlah sahaja apa yang berlaku dalam kes pencemaran bauksit. Akibat tidak amanah, maka berlaku kerosakan dan penjejasan mutu kehidupan masyarakat.

Pepatah Arab menyebut, “seseorang yang tidak memiliki sesuatu bagaimana mungkin diharapkan dapat memberikan sesuatu.” Seseorang yang tidak memiliki sifat amanah, bagaimana mungkin ia menjadi beramanah dalam apa yang dilakukannya.

Dengan itu, amanah harus bermula dalam diri sendiri barulah kesannya boleh dilihat kepada orang lain serta alam keseluruhannya. Malah, orang yang amanah amat berani dalam menegakkan prinsipnya dan inilah yang kita perlukan dalam pengaturan hidup manusia dan alam zaman ini.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)