REVOLUSI industri yang berlaku pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 telah membawa perubahan besar dalam sejarah hidup manusia.

Perubahan besar ini berlaku di Britain dalam beberapa bidang utama seperti pertanian, pembuatan, pengangkutan seterusnya merebak ke seluruh Eropah, Amerika Utara dan akhirnya ke seluruh dunia.

Kesan dari revolusi industri ini menyebabkan banyak bahan baharu yang telah dihasilkan oleh manusia.

Salah satu bahan baharu yang telah dihasilkan ialah plastik. Plastik kini semakin menyelaputi bumi.

Penggunaannya tidak terbatas kepada penggunaan alat-alat di rumah seperti pinggan, cawan dan sudu sahaja, tetapi sebagai bahan-bahan termaju yang semakin kompleks dalam bidang perubatan, automotif, aeroangkasa dan lain-lain.  

Plastik merupakan bahan yang dapat menawarkan berbagai kelebihan seperti ketahanan, lutsinar, tahan haba, tahan bahan kimia, murah, senang didapati serta banyak lagi.

Namun, di sebalik semua kelebihan ini plastik juga menimbulkan masalah terhadap alam sekitar. Selain plastik, terdapat juga bahan-bahan baharu yang lain seperti gas kloro fluoro karbon (CFC), metana, karbon dioksida yang terhasil akibat aktiviti manusia, sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.

Pemanasan global adalah berkaitan dengan peningkatan suhu dunia, iaitu suhu bumi meningkat sebanyak 2 darjah Celsius dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan.

Perubahan iklim ini kebiasaannya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja.

Jadi, ahli sains telah meramalkan bahawa keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099.

Litupan ais Greenland dan Antartika Barat juga akan mencair dan paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak.

Punca utama kepada pemanasan global ini ialah daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil.

Oleh sebab itu, Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan telah diadakan di Rio de Janeiro pada 1992.

Persidangan ini adalah titik permulaan kepada gagasan pembangunan lestari. Gagasan ini diterima oleh warga dunia sebagai pendekatan baharu menuju abad ke-21.

Walau bagaimanapun, pembangunan lestari ini sebenarnya telah lama bermula di alam Melayu cuma waktu itu orang Melayu tidak mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah pembangunan lestari.

Sebagai contoh, pembinaan rumah tradisional orang Melayu.

Aspek-aspek yang diambil kira ialah pemilihan bahan binaan mesra alam, aspek reka bentuk rumah yang mengambil kira arah pergerakan matahari, orientasi paksi bangunan dan pencahayaan semula jadi.

Jika dilihat pada rumah Melayu dan rumah-rumah yang dibina dalam tahun 50-an, kebanyakannya mempunyai lubang kecil atau ukiran di atas dinding hadapan dan belakang rumah bagi memberi laluan angin segar masuk ke serata rumah dan membawa keluar udara negatif.

Pada hari ini kesemua rumah terdiri daripada bahan binaan konkrit dan menggunakan pendingin hawa untuk menyejukkan.

Pendingin hawa ini sebenarnya membebaskan gas CFC yang akhirnya menyumbang kepada pemanasan global.

Begitu juga sekiranya kita lihat kepada produk tradisional Melayu yang lain. Sebagai contoh tudung saji.

Orang Melayu tradisional membuat tudung saji ini dengan menganyam daun mengkuang dan pandan. Mengkuang ini adalah bahan mesra alam atau selulosa.

Nama saintifiknya Pandanus artocapus. Selain tudung saji, mengkuang ini juga dianyam untuk membuat tikar, alatan aksesori dan produk-produk kraf tangan yang lain.  

Dari segi kimia pula, mengkuang mempunyai bahan kimia 2-phenyl ethyl alcohol dan banyak bahan kimia yang lain.

2-phenyl ethyl  alcohol atau pheniletil alcohol merupakan sebatian organik yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH). Bahan ini mempunyai banyak kegunaan dan merupakan bahan utama yang terdapat dalam buah zaitun.

Tetapi kini kebanyakan peranan tudung saji mengkuang telah diambil alih oleh tudung saji plastik.

Tudung saji plastik ini pula apabila tidak dapat digunakan lagi akan berada di tapak pelupusan sampah dan mengambil masa sekitar 500 tahun untuk degradasi.

Sebenarnya banyak lagi contoh produk dan amalan yang kita boleh lihat di alam Melayu ini yang berkaitan dengan mesra alam.

Kita mempunyai khazanah yang tidak ternilai harganya jika kita mengkaji.