PUJANGGA masyhur dari Pakistan, Muhammad Iqbal (m. 1938), pernah menyebut, “Bangsa yang tidak menguasai cara berfikir mereka, kemungkinan besar akan musnah.” (People who have no hold over their thought process are likely to be ruined.)

Sejak awal abad ke-20 telah muncul sejumlah pemikir dan sarjana Islam yang berusaha untuk mengembalikan cara-gaya berfikir Islam dan membebaskan akal fikiran umat dari genggaman penjajah.

Antaranya, Allama Dr Muhammad Iqbal dari Pakistan (m. 1938), Bediuzzaman Said Nursî (m. 1960) dari Turki, Prof Dr Seyyed Hossein Nasr dari Iran, dan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dari Malaysia. 

Para sarjana dan pemikir ini sepakat mengatakan cabaran terbesar umat zaman ini pada zahirnya kelihatan di medan ‘amali (amalan ekonomi, politik atau pendidikan) tetapi pada hakikatnya berpunca pada kepincangan dalam medan ‘ilmi (ilmu dan pemikiran).

Dalam erti kata lain, pelbagai bentuk kefasadan seperti kemusnahan alam sekitar, pecah amanah, atau ketidaksaksamaan ekonomi yang berlaku pada masa kini adalah disebabkan oleh cara berfikir rata-rata umat Islam mengenai hakikat kehidupan, hakikat insan, hakikat ilmu, hakikat kebahagiaan, serta faham asas lain dalam pandangan hidupnya (worldview), telah dipengaruhi atau dikuasai oleh cara-gaya sekular Barat - khususnya bagi golongan yang terpelajar dan berpengaruh.

Sebagai contoh, kerosakan alam sekitar sememangnya berkait rapat dengan kefahaman si pelakunya (yang cetek, silap atau keliru) mengenai hakikat ‘alam (yang seharusnya difahami sebagai ayat-ayat ALLAH SWT), dan faham asas lain yang membentuk cara berfikir dan pendiriannya.

Oleh itu, sebarang agenda Islam menjelang 2050 di negara kita ini khususnya berkaitan pendidikan memerlukan usaha daripada pihak berwajib untuk mengenali lebih dekat aset pemikiran kita dalam bentuk “gagasan pengislahan” yang menekankan penguasaan cara berfikir Islam supaya umat mampu berinteraksi dan memanfaati pemikiran dan amalan ketamadunan lain secara cermat.

Pada dasarnya, istilah “pengislahan” yang terbit daripada akar kata salaha  (sad-lam-ha) dalam bahasa Arab, berasal daripada al-Quran.

Pengislahan ditakrifkan sebagai “usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai.” Dalam konteks ini, “gagasan pengislahan” yang dimaksudkan ialah suatu usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada suatu keadaan yang lebih mulia bertepatan dengan fitrah insani.

Antara usaha yang boleh menguntungkan umat Islam di Malaysia dan dunia Islam ialah dengan memanfaatkan sepenuh “gagasan pengislahan” yang telah dikemukakan oleh Prof al-Attas (lihat contoh, karya beliau Risalah untuk Kaum Muslimin, edisi kedua terbitan IBFIM, 2014), yang bakal dikurniakan Anugerah Al-Ghazali Seumur Hidup oleh alim ulama terkemuka dari dunia Barat sebagai pengiktirafan kepada sumbangan besar beliau kepada umat Islam (risconvention.com/imam-alghazali-award). 

Seperti para awliya’ dan ulama muktabar silam, “gagasan pengislahan” yang diperjuangkan Prof al-Attas tertumpu pada proses pendidikan, dengan tujuan utamanya untuk melahirkan insan yang beradab.

Dan insan beradab di sini bererti insan yang mengenal (dengan ilmu yang benar) dan mengaku (dengan amal) akan hak keadaan sesuatu (dari alam tabii hingga ALLAH SWT) dan kedudukan seseorang, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta; bukan sekadar pengertian beradab yang terbatas kepada tatasusila sahaja, seperti yang sering difahami umum.

Sehubungan itu, dalam konteks dunia hari ini, sememangnya signifikan sekiranya usaha ini diberikan ruang untuk dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi, yang diterajui oleh para ilmuwan berwibawa yang faham secara mendalam mengenai “gagasan pengislahan” ini.

Dengan mendidik generasi baharu pada peringkat pengajian tinggi berdasarkan gagasan pengislahan ini, kita akan berupaya melahirkan insan-insan yang beradab dalam pelbagai bidang, yang kemudiannya akan berupaya meneruskan proses pengislahan itu di pelbagai peringkat masyarakat melalui kerjaya, industri dan kedudukan masing-masing.

Kehadiran generasi baharu ini juga akan mampu memberi cadangan balas (counter proposal dan counter narrative) kepada apa-apa kepincangan teori, dasar dan amalan sistem pendidikan, ekonomi, dan politik Barat moden.