SEBELUM bermula, ada beberapa perkara yang penulis mahu nyatakan. Penulis bukanlah seorang pengguna vape. Penulis juga bukanlah seorang perokok. Penulis juga tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan industri penjualan vape.

Isu penggunaan dan penjualan vape begitu hangat diperkatakan mutakhir ini. Ia berikutan tindakan Kementerian Kesihatan yang membuat serbuan ke atas beberapa premis yang menjual produk vape. Di samping itu, dilaporkan juga bahawa ada beberapa negeri yang telah, sama ada mengharamkan penjualan produk vape, atau mengharamkan penggunaan vape.

Ada negeri-negeri ini yang mengambil tindakan berkenaan dengan vape kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan vape bagi orang Islam adalah haram. Penulis tidak mahu mempersoalkan fatwa tersebut kerana penulis percaya Majlis Fatwa Kebangsaan mempunyai dalil mereka sendiri.

Apa yang penulis ingin bangkitkan adalah pertimbangan kerajaan-kerajaan negeri dalam mengharamkan vape sejajar dengan fatwa tersebut. Kita harus faham bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara berkenaan dengan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa eksklusif negeri-negeri dan bukannya Persekutuan.

Oleh itu, sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat umat Islam. Apa yang mengikat umat Islam adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri atau mufti negeri masing-masing. Sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri atau mufti dan telah diwartakan akan mengikat semua umat Islam di dalam negeri tersebut. Ia juga menjadi kesalahan syariah sekiranya terdapat mana-mana orang yang memberi pendapat bertentangan dengan fatwa tersebut.

Kerajaan negeri tidak wajar menguatkuasakan pengharaman vape itu mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini kerana dengan berbuat demikian, mereka telah memintas keputusan Majlis Fatwa Negeri atau mufti negeri dalam isu ini. Walhal, dalam isu berkenaan dengan fatwa dan undang-undang syariah, bidang kuasa terletak pada Majlis Agama Negeri dan bukannya pada sebuah badan persekutuan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sewajarnya, kerajaan negeri yang ingin mengambil tindakan mengharamkan vape ke atas umat Islam harus menunggu sekiranya terdapat apa-apa keputusan daripada Majlis Fatwa Negeri atau mufti masing-masing.

Di samping itu, pengharaman vape secara umum juga akan membawa masuk suatu fatwa kebangsaan ke dalam negeri dan mengenakannya ke atas orang Islam dan juga orang bukan Islam. Ini tidak teratur kerana sesuatu fatwa tidak wajar memberi apa-apa kesan sekalipun ke atas orang bukan Islam.

Penulis juga berpendapat bahawa sekiranya kerajaan negeri ingin mengharamkan penggunaan vape untuk orang Islam, ia harus dibuat dengan menggubal undang-undang syariah melalui Dewan Undangan Negeri, dan bukannya melalui tindakan eksekutif.

Berkenaan dengan pengharaman penjualan vape, kerajaan Negeri memang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan apa-apa syarat dalam mengeluarkan lesen perniagaan bagi premis-premis di dalam sebuah negeri, termasuklah syarat bahawa produk vape tidak boleh dijual. Namun demikian, masa wajar diberi kepada penjual vape yang telah diberi lesen sebelum ini untuk menghabiskan stok mereka.

Tetapi pada pendapat penulis, pengharaman penggunaan vape secara umum, ke atas Islam dan bukan Islam atas alasan kesihatan, tidak boleh dilakukan oleh kerajaan negeri kerana kesihatan dan ubatan adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Isu vape ini suatu yang kompleks. Terdapat banyak perkara yang wajar dipertimbangkan dan diperhalusi sebelum apa-apa keputusan boleh diambil. Penulis faham kebimbangan pihak-pihak yang mahu mengawalnya atau khuatir akan kesannya ke atas masyarakat. Tetapi pada masa yang sama, mereka tidak boleh terburu-buru.

Adalah lebih baik sekiranya semua pihak yang berkepentingan, termasuklah pihak kerajaan, pengguna vape dan penjual vape, duduk bersama dan cuba menangani isu ini secara menyeluruh.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur