LAUNGAN untuk memboikot pilihan raya umum yang akan datang atau merosakkan undi semakin kuat mutakhir ini.

Laungan ini bukan baru tetapi sebelum ini, ia tidak mendapat perhatian arus perdana. Namun demikian, pengumuman gagasan pembangkang yang menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, bersama-sama dengan persepsi negatif tentang politik tanah air selama ini, telah menjadikan laungan ini menjadi lantang.

Ada sebilangan anak muda yang peka politik tetapi begitu kecewa dengan politik sehinggakan mereka sanggup melepaskan hak mereka untuk memilih calon yang akan mewakili mereka.

Tidak mengundi atau membuang undi rosak adalah tergolong dalam amalan demokratik yang biasa. Dari perspektif undang-undang, tidak ada salahnya jika seseorang pengundi itu tidak mahu membuat pilihan.

Demokrasi bukan hanya membuang undi setiap lima tahun. Banyak perkara yang boleh diselesaikan tanpa perlu bergantung kepada wakil rakyat. Contohnya, jika lampu isyarat di kawasan anda tidak berfungsi, anda patut laporkan pada majlis perbandaran anda, bukan pada wakil rakyat anda.

Tetapi, jika anda ingin membuat reformasi badan-badan negara atau mengubah undang-undang, ia perlu dilakukan melalui proses perundangan di mana sekumpulan wakil yang dipilih rakyat membuat keputusan mewakili penduduk lain.

Sekiranya kita tidak mengendahkan siapa yang mewakili kita dalam proses ini, bagaimanakah kita boleh meminda undang-undang atau membuat perubahan pada badan-badan negara?

Jika kita tidak mengundi dan akhirnya kita diwakili oleh seorang wakil rakyat yang tidak menghiraukan tentang isu yang kita mahu ubah, bagaimana boleh anda membuat apa-apa perubahan?

Alasan yang sering diberikan untuk undi rosak adalah bahawa kedua-dua gagasan politik tidak menawarkan pilihan yang nyata. Kedua-dua pihak adalah sama, kata mereka.

Tetapi sekiranya kita tidak berpuas hati dengan pilihan yang diberikan oleh gagasan yang besar, mengapa tidak pilih parti-parti politik yang lebih kecil?

Kita hanya meneka tentang tiadanya pilihan, kerana buat masa ini Parlimen masih belum dibubarkan. Tiada siapa tahu siapakah yang akan menawarkan diri sebagai calon.

Tidak lupa juga, sekiranya kita tidak puas hati dengan pilihan di peringkat Persekutuan, mana tahu mungkin ada individu yang dibenci telah dicalonkan sebagai calon perdana menteri, anda masih ada pilihan di peringkat negeri yang tiada kena-mengena dengan pilihan perdana menteri.

Anda juga bebas untuk menyusun gerakan bagi berkempen menentang individu yang dibenci di tempat mereka bertanding, supaya pilihan parti boleh dihalang terus daripada menjadi perdana menteri.

Dari melihat pada parti politik dan pemimpin mereka, kita boleh melihat pada calon-calon yang menawarkan diri. Dengar apa yang mereka tawarkan sebagai calon. Kemudian, buat keputusan berdasarkan calon, dan bukannya sebagai undian proksi tentang siapa yang akan membentuk kerajaan.

Maka, untuk mengatakan bahawa kita tidak mahu memilih kerana ‘tidak ada pilihan’ adalah suatu hujah yang tidak boleh diterima.

Terdapat begitu banyak pilihan yang boleh kita buat, begitu banyak lapisan yang ada dan begitu banyak strategi yang boleh diguna pakai sehinggakan pada akhirnya, tidak memilih itu wajar dijadikan pilihan terakhir.