KEHANGATAN PRU14 semakin dirasai! Tidak lama lagi, kita akan keluar mengundi untuk menentukan siapa mewakili kita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kita juga akan menentukan siapa yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri di seluruh negara.

Pada masa ini, kita dihujani dengan begitu banyak maklumat dan propaganda. Ada yang betul, dan ada yang palsu. Kita sebagai pengguna yang bertanggungjawab, harus bijak menapis yang mana sahih dan yang mana tidak.

Sering berlegar di ruang maya mutakhir ini kononnya jika blok pembangkang menerajui Putrajaya, hak orang Melayu dan Islam akan tergugat. Kononnya, hak Melayu akan dihapuskan.

Dakyah ini disebarkan pada PRU yang lepas untuk menakut-nakutkan orang Melayu daripada menyokong Pakatan Rakyat. Ia kini dimainkan sekali lagi.

Faktanya adalah, hak Melayu tidak akan tergugat walau siapa pun memegang tampuk kuasa. ‘Hak Melayu’ ini sering merujuk kepada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan seperti Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Majlis Raja-raja terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk membuat apa-apa pindaan terhadap hak Melayu ini, ia perlu dibentangkan dan disokong oleh dua pertiga ahli Parlimen. Tidak mungkin pindaan seperti ini akan dapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Yang lebih penting lagi, apa-apa pindaan terhadap hak Melayu juga memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja. Walaupun sekiranya terdapat sokongan dua pertiga, ia tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan ini.

Ini berlainan dengan undang-undang biasa yang perlu majoriti mudah dan menjadi undang-undang selepas 30 hari walaupun tidak diberi perkenan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan tidak boleh dipinda dengan mudah atau sewenang-wenangnya.
 
Maka sebenarnya Perlembagaan telah meletakkan perlindungan yang mencukupi untuk menjamin bahawa hak Melayu ini terpelihara, walau siapa pun yang membentuk kerajaan.

Secara politiknya pula, sudah tentu mana-mana kerajaan baharu tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal. Meminda hak Melayu adalah suatu tindakan bunuh diri bagi mana-mana kerajaan. Orang Melayu sudah tentu tidak akan menyokong mereka lagi selepas itu.

Dalam kalangan kakitangan awam pula, ada yang menganggap bahawa sebagai kakitangan awam, mereka harus menyokong parti yang dalam kerajaan.

Faktanya adalah, undi adalah rahsia. Ini dinyatakan dalam undang-undang. Tidak ada sesiapa yang boleh mengetahui untuk siapa anda membuang undi.

Pada hari mengundi, apabila kertas undi dikeluarkan, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh membuat apa-apa penandaan atau catatan yang merujuk kepada nombor siri kertas undi tersebut pada senarai nama pengundi. Ini untuk memastikan bahawa kertas undi itu tidak boleh dipadankan dengan nama pengundi dalam senarai bagi menjamin kerahsiaan proses pengundian.

Kakitangan awam, seperti orang lain, mempunyai hak untuk mengamalkan kebebasan mereka untuk mengundi dalam PRU. Kakitangan awam tidak boleh diugut atau dipaksa untuk mengundi sesiapa.

Kakitangan awam juga tidak boleh dibuang, diturun taraf, digantung atau dibekukan hanya kerana mengundi pembangkang. Ini adalah hak mereka yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Malahan, kerajaan sendiri telah mengakui bahawa mereka tidak dapat tahu untuk siapa anda undi. Jadi sekiranya mereka mahu mengambil tindakan sekalipun, adalah mustahil untuk mereka mendapat tahu siapa yang dipangkah semasa PRU.

Oleh itu, kepada pengundi Melayu dan kakitangan awam, laksanakan hak anda untuk membuang undi; jangan takut, gusar atau khuatir dengan ‘mitos-mitos’ yang disebarkan! Selamat mengundi!

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur