DUA minggu lepas, penulis ada menulis tentang perlunya undang-undang digubal bagi mengatasi diskriminasi tidak adil.

Rencana penulis minggu lepas adalah berikutan laporan media bahawa kakitangan sesetengah hotel yang bertugas di barisan hadapan, seperti di bahagian khidmat pelanggan, telah dilarang memakai tudung.

Penulis melihat bahawa larangan tersebut sebagai satu diskriminasi terhadap wanita Muslim yang bertudung. Penulis juga membangkitkan walaupun Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi terhadap warganegara atas dasar ras, keturunan, jantina dan tempat lahir, peruntukan ini hanya terhad kepada sektor awam sahaja. Untuk sektor swasta, tiada mekanisme undang-undang yang boleh menangani isu-isu berkenaan dengan diskriminasi tidak adil ini.

Diskriminasi tidak adil sebenarnya tidak terhad kepada pekerjaan sahaja. Terdapat juga diskriminasi dalam pelbagai aspek lain, sama ada dilakukan oleh badan awam, sektor swasta atau individu.

Larangan sesetengah perbadanan pengurusan pangsapuri terhadap penyewaan unit kepada sesetengah warganegara, seperti warga Nigeria, juga suatu bentuk diskriminasi tidak adil.

Isu larangan bertudung ini membuka peluang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan undang-undang anti-diskriminasi. Tetapi apa bentuk undang-undang tersebut?

Apa-apa undang-undang yang digubal tidak wajar mensasarkan tindakan hukuman atau punatif sahaja. Undang-undang yang digubal seharusnya mempromosikan dan menggalakkan kesamarataan dan keadilan.

Oleh itu, dorongan supaya hotel yang melarang kakitangan barisan hadapan bertudung ditarik lesennya adalah tidak wajar dan tidak berkesan dalam jangka panjang.

Sebelum ini, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (NUCC) ada mencadangkan undang-undang anti diskriminasi dalam bentuk dua cadangan rang undang-undang yang dikenali sebagai RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.

Cadangan rang undang-undang tersebut telah dikemukakan untuk maklum balas awam. Namun demikian, ia telah mendapat bantahan daripada beberapa pihak dan cadangan rang undang-undang tersebut telah dibiarkan begitu sahaja.

Mengikut apa yang dicadangkan, akan wujud suatu suruhanjaya yang menyediakan forum atau mekanisme untuk menyelesaikan isu diskriminasi tak adil. Suruhanjaya tersebut mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan anti-diskriminasi dan keadilan.

Suruhanjaya itu juga akan mewujudkan suatu tribunal di mana aduan-aduan mengenai diskriminasi tidak adil boleh disalurkan dan didengar.

Isu-isu diskriminasi lebih sesuai didengar oleh suatu tribunal, berbanding dengan mahkamah. Ini untuk membolehkan lebih ramai orang mempunyai akses kepada mekanisme aduan dan supaya kos tidak menjadi halangan.

Suatu tribunal juga tidak seperti mahkamah yang bersifat ‘adversarial’. Suatu tribunal boleh bertindak lebih ke arah rekonsiliasi, dan bukannya menghukum semata-mata.

Tribunal itu juga boleh menentukan sama ada apa yang diadukan sebagai diskriminasi itu benar-benar diskriminasi tidak adil, yang perlu ditangani, ataupun tidak. Seperti yang penulis katakan sebelum ini, bukan semua bentuk diskriminasi adalah tidak wajar.

Menentukan mana satu wajar, dan mana satu tidak adil adalah tugas tribunal yang dicadangkan itu.

Ada cadangan lain yang diutarakan melalui rang undang-undang tersebut, tetapi mekanisme tribunal itu yang paling penting.

Penulis terlibat dalam penggubalan rang undang-undang tersebut, dan walaupun ia bukanlah sempurna, tetapi penulis percaya ia boleh menjadi titik permulaan.

Jika tidak sekalipun, sekiranya kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang anti-diskriminasi, diharapkan prinsip-prinsip yang sama boleh diambil kira.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur