KITA sering disajikan dengan tanggapan bahawa demokrasi itu hanyalah amalan membuang undi setiap lima tahun. Tetapi demokrasi itu lebih daripada amalan mengundi.

Demokrasi itu juga termasuklah perkara-perkara seperti kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan berhimpun dengan aman, kebebasan mengkritik, perlindungan hak-hak dan kepentingan minoriti dan memastikan bahawa kedaulatan undang-undang didukung dan keperlembagaan diluhurkan.

Tetapi tidak boleh dinafikan bahawa amalan membuang undi itu adalah suatu amalan demokrasi yang penting. Dengan mengundi semasa pilihan raya, warganegara dapat terlibat secara langsung dengan proses politik dan demokrasi negara.

Undi seseorang warganegara itu boleh menentukan siapa yang akan mewakili kawasan tersebut di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri. Ia juga boleh menentukan siapa yang memegang tampuk kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.

Hak seseorang rakyat untuk mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun, bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh kelayakan dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.  

Baru-baru ini, telah wujud suatu gerakan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun. Gerakan ini, yang dikenali sebagai Undi18 mengatakan bahawa sebanyak 1.5 juta rakyat Malaysia yang sudah dewasa tidak boleh mengundi kerana mereka belum mencapai umur 21 tahun.

Undi18 ini mahu Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk merendahkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Inisiatif ini wajar disokong. Menurut undang-undang negara, seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun adalah seorang dewasa di sisi undang-undang. Maknanya, orang itu tidak lagi dikira sebagai seorang kanak-kanak dan dikatakan sudah cukup umur. Orang itu sudah mencapai umur majoriti.

Seseorang yang sudah berumur 18 tahun boleh memasuki perjanjian dan bekerja, contohnya. Dia juga boleh merosakkan badannya dengan merokok secara sah apabila berumur 18 tahun. Malahan, seseorang yang masih belum mencapai 18 tahun sudah layak berkahwin dan mendapat lesen memandu.

Namun demikian, orang itu tidak boleh mengundi semasa pilihan raya untuk menentukan siapa yang akan mewakilinya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Situasi ini tidak masuk akal dan harus diperbetulkan. Tidak ada sebab yang munasabah yang mewajarkan seseorang dewasa dihalang daripada mengundi.

Ada yang mengatakan bahawa seseorang yang berumur 18 tahun itu ‘belum cukup matang’ untuk mengundi. Tetapi kematangan adalah sesuatu perkara yang berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Amalan mengundi secara asasnya tidak menjadikan kematangan seseorang itu sebagai suatu syarat, asalkan orang itu waras dan faham apa yang dilakukan.

Hampir kesemua negara di dunia ini meletakkan umur 18 tahun sebagai umur layak mengundi. Ini termasuklah negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran.

Malahan, jiran kita Thailand, Filipina dan Indonesia juga membenarkan warganegara yang berumur 18 tahun untuk mengundi. Maka kita sebenarnya ketinggalan jika mengikut norma dunia.

Sayap belia parti-parti politik, tidak kira dari barisan, pakatan atau gagasan mana, sebenarnya wajar menjadikan inisiatif ini sebahagian daripada perjuangan mereka, sekiranya mereka benar-benar membawa suara anak muda Malaysia.

Kerajaan juga wajar mempertimbangkan cadangan untuk menurunkan umur layak mengundi dengan meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan. Anak muda yang sudah dewasa harus dibenarkan dan diberi ruang untuk terlibat dalam menentukan hala tuju negara melalui proses politik.