SEWAKTU lebih kurang 1 petang pada hari mengundi, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi adalah rendah berbanding 2013, penulis merasakan bahawa Barisan Nasional (BN) akan sekali lagi memenangi Pilihan Raya Umum kali ini.

 Penganalisis politik telah menyatakan sebelum ini bahawa bagi Pakatan Harapan mempunyai peluang untuk menang, peratusan keluar mengundi mesti tinggi. Dalam sekitar 85 hingga 90 peratus. Sekiranya rendah, BN akan menang.

Kebanyakan ramalan mengenai keputusan PRU14 ini mengatakan bahawa BN akan menang di peringkat Persekutuan, tetapi Pakatan Harapan (Harapan) kekal menguasai Dun Pulau Pinang dan Selangor.

Tetapi pada lebih kurang 8 malam, apabila keputusan-keputusan tidak rasmi di Sarawak mula masuk, jelas bahawa sesuatu yang luar biasa sedang berlaku. Di beberapa tempat di Sarawak, Harapan sedang di hadapan.

Sama juga dengan keputusan-keputusan tidak rasmi di Johor yang mula masuk pada sekitar pukul 9 malam. Calon-calon Harapan sedang mendahului. Dua kubu kuat BN menampakkan keputusan yang memberangsangkan.

Kemudian, satu persatu berita mula masuk. Pemimpin-pemimpin BN tumbang satu persatu di seluruh negara. Menteri, timbalan menteri, gergasi semua kalah di tempat-tempat yang mereka dijangkakan menang.

Pada pukul 1 pagi, sudah jelas bahawa BN telah kalah. Pakatan Harapan sudah cukup untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dengan majoriti mudah. Harapan juga boleh bentuk kerajaan baharu di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Apabila mantan ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mengatakan bahawa akan berlaku tsunami Melayu, ramai yang tidak mempercayainya. Ramai menjangkakan akan ada swing Melayu, tetapi tidak cukup untuk menumbangkan BN.

Tetapi adalah jelas bahawa tsunami Melayu itu telah tiba. Malahan, ia bukan tsunami Melayu sahaja, tetapi tsunami Cina, India, Sabah dan Sarawak yang menghanyutkan BN.

BN langsung tidak menjangkakan bahawa mereka akan ditenggelamkan dek rakyat pada PRU ini. Sehingga sehari sebelum hari mengundi, rakan media mengatakan bahawa BN yakin bahawa mereka boleh menang 130-140 kerusi Parlimen.

 Apakan tidak, mereka punya pertolongan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, ‘pengadil’ perlawanan ini. Bermula dengan persempadanan semula yang tidak adil dan memihak kepada BN, menetapkan hari mengundi pada tengah minggu untuk mengurangkan peratusan mengundi, kertas-kertas undi pos yang sampai lambat dan akhir sekali pengurusan proses pengundian yang kelam kabut, semua yang SPR buat pada PRU ini adalah untuk memberikan kelebihan kepada BN.

Tetapi semua perancangan mereka tidak menjadi. BN juga fikir bahawa orang Melayu boleh ditakutkan dengan momok DAP dan Cina. Bahawa sekiranya Melayu marah sekalipun, mereka tetap akan mengundi BN kerana kegusaran mereka tentang kuasa politik Melayu. Sangkaan mereka meleset. Melayu tidak teragak-agak menolak Umno secara total dan komprehensif.

Mereka yakin, kempen mereka yang sudah tentu bernilai jutaan ringgit, cukup untuk meyakinkan rakyat untuk memberikan mereka mandat untuk lima tahun lagi.

Mereka juga fikir bahawa rakyat akan termakan ‘gula-gula’ yang dijanjikan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusannya sebelum hari mengundi.

Rupanya, perutusan itu menjadi ucapan terakhir Najib sebagai Perdana Menteri. Sejarah akan menunjukkan bahawa Perdana Menteri kita yang keenam menghina rakyat dengan menjanjikan perkara-perkara remeh demi meraih undi.

Berakhirlah pemerintahan tidak terputus BN selama lebih daripada 60 tahun. Kita ada Perdana Menteri lama tetapi baharu, tetapi lebih penting lagi, kerajaan yang baharu. Semoga demokrasi di bumi ini terus mekar.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur