KITA begitu hampir dengan Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU14). Pengulas dan penganalisis politik akan cuba untuk menduga tarikhnya.

Namun walau bila ia berlangsung sekalipun, apa yang pasti adalah semua sudahpun merasakan bahang pilihan raya. Suhu politik tanah air semakin meningkat mutakhir ini.

Pengumuman sedang dibuat tentang calon, spekulasi tentang siapa yang akan bertanding rancak diperkatakan dan manifesto sudahpun diperkenalkan.

Tidak lama lagi, ‘demam’ pilihan raya akan melanda seluruh negara. PRU14 ini akan menyaksikan saingan yang begitu sengit. Pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah putus sejak merdeka kini diancam oleh pakatan pembangkang-Pakatan Harapan.

Ia akan menjadi peperangan di antara ketidaktentuan perubahan dan status quo yang dikenali. Faktor Pas juga memainkan peranan, sama ada mereka menjadi kingmakers atau tenggelam daripada arus perdana politik tanah air juga akan ditentukan dalam PRU ini.

Tidak lupa juga gerakan boikot dan undi rosak, serta sentimen pengundi yang sudah muak dengan politik perseteruan yang tidak ada kesudahannya. Apa yang pasti, semua faktor ini akan menjadikan PRU ini begitu menarik.

PRU yang ke-13 lalu, telah menukar lanskap politik Malaysia, antara lain kerana ia telah mewujudkan pembangkang yang lebih kuat dan bersatu.

Kini, parti-parti politik harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan dan undian daripada pengundi. Pertandingan meraih undi ini telah mewujudkan demokrasi yang lebih dinamik dan berwarna-warni.

Akan tetapi, saingan merebut kuasa juga telah membawa ke hadapan sisi politik yang buruk. Untuk meraih undi suatu lapisan masyarakat, arena politik dicemarkan dengan politik perkauman.

Memang tidak dinafikan, politik identiti dan kaum sudah lama menjadi budaya politik kita. Parti-parti kita banyak tersusun mengikut garis-garis ras dan agama, sama ada secara de facto atau de jure.

Tetapi apa yang membimbangkan adalah ras dan agama kini digunakan dengan cara yang mengancam masyarakat majmuk kita.

Kita sudah menyaksikannya pada PRU lepas, dan kita semakin melihatnya PRU kali ini. Politikus menggunakan ras dan agama untuk tujuan politik sempit mereka, menggambarkan masyarakat lain sebagai musuh dan ancaman demi mendapat sokongan.

Tiba masanya kita menolak terus politik perkauman yang melampau seperti ini. PRU yang akan datang ini mempersembahkan kepada kita suatu peluang keemasan untuk kita menghantar mesej yang jelas menolak politik perkauman yang mengancam keharmonian kaum.

Ini peluang kita sebagai rakyat untuk memberitahu kepada parti-parti politik dan calon-calon bahawa walau apa pun yang terjadi, ada beberapa perkara yang kita junjung dan melangkaui politik. Jangan bakar apa yang telah kita bina selama ini, hanya demi terus memegang tampuk kuasa.

Mari kita sama-sama tolak politik perkauman.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur