ADA suatu babak dalam filem Star Wars Episode III: Revenge of the Sith arahan George Lucas yang saya minat. Babak tersebut adalah apabila Senat Galactic, dewan perundangan bagi the Republik Galactic dalam siri filem Star Wars, meluluskan pemberian kuasa mutlak kepada Senator Palpatine yang menjadikan antagonis filem itu sebagai Maharaja Palpatine.

Peristiwa tersebut berlaku dalam filem apabila Palpatine, dengan bantuan Anakin Skywalker yang kemudiannya menjadi Darth Vader dan askar-askar klon, telah membuat memusnahkan Orde Jedi kononnya atas alasan bahawa Orde Jedi mahu memberontak dan merampas kuasa.

Pertabalan Palpatine sebagai maharaja telah disambut dengan sorakan oleh ahli-ahli Senat, yang menganggap bahawa itulah langkah yang paling baik untuk memastikan keamanan sejagat. Namun, dalam keriuhan sorak dan tepukan, Senator Padmé Amidala, ibu kepada adik-beradik Luke dan Lea, hero trilogi filem asal berkata “Lihatlah bagaimana kebebasan terkubur… dengan tepukan gemuruh.”

Amidala dapat melihat rampasan kuasa yang dilakukan oleh Palpatine melalui proses perundangan dan dibenarkan oleh ahli Senat. Kini, kuasa mutlak berada di tangan seorang maharaja dan bermulanya zaman tirani Empayar Galactic.

Babak tersebut begitu memberi kesan kepada saya kerana ia mengingatkan kita bagaimana suatu sistem perundangan dalam sebuah demokrasi masih boleh mewujudkan kezaliman.

Kita sentiasa disuapkan bahawa demokrasi itu bermakna setiap lima tahun kita membuang undi untuk memilih parti mana yang menerajui kerajaan. Parti yang paling banyak mendapat kerusi dalam Dewan Rakyat, akan membentuk kerajaan. Ini betul, tetapi demokrasi lebih daripada itu.

Demokrasi tidak bermakna majoriti boleh buat ikut suka hati. Walaupun parti yang menguasai dewan perundangan selalunya akan dapat menggubal undang-undang dengan mudah, ia tidak bermaksud hak dan kepentingan golongan minoriti tidak perlu diendahkan atau dilanggar terus.

Hanya kerana suatu rang undang-undang itu diluluskan oleh dewan perundangan, seperti Parlimen, ia tidak bermakna undang-undang itu adil. Jika tidak berhati-hati, banyak undang-undang yang tidak adil dan melanggar kebebasan asasi akan digubal melalui proses perundangan.

“Tidak ada tirani yang lebih hebat daripada tirani yang terjadi di belakang perisai undang-undang dan menggunakan nama ‘keadilan’”, kata filsuf Perancis, Montesquieu.

Saya banyak menulis di ruang ini tentang undang-undang yang zalim dan melanggar kebebasan asasi. Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara adalah antara undang-undang yang digubal oleh Parlimen, yang melalui proses perundangan yang sah, tetapi merupakan undang-undang yang dikritik hebat.

Sebab itu, ahli Parlimen memainkan peranan penting. Walaupun ahli Parlimen dalam parti yang dalam kerajaan sekalipun, perlu memastikan undang-undang yang dicadangkan adalah adil. Sebab itu juga, debat di dalam dewan perundangan adalah suatu perkara penting dalam penggubalan undang-undang.

Apabila ahli Parlimen lebih mementingkan arahan parti daripada tanggungjawab mereka sebagai ahli Parlimen, maka sebab itulah wujudnya undang-undang zalim.

Negara demokrasi moden juga memastikan kuasa tidak berpusat pada suatu tempat sahaja. Prinsip pembahagian kuasa atau separation of powers ini memastikan bahawa terdapat institusi lain yang dapat memeriksa dan mengimbang kuasa yang dipegang oleh suatu institusi.

Walaupun dewan perundangan seperti Parlimen menggubal undang-undang, badan kehakiman mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa undang-undang tersebut adalah sah mengikut prinsip-prinsip Perlembagaan, contohnya. Dalam kerangka ini, tidak akan ada suatu institusi negara yang mempunyai kuasa mutlak.

Sistem ini tidak sempurna. Tetapi jika semua pihak, sama ada kerajaan, ahli-ahli Parlimen dan hakim-hakim memahami peranan mereka dalam negara, maka sistem ini boleh berfungsi dengan baik dan berkesan. Inilah demokrasi sebenar; bukan melalui konsep ‘majoriti maknanya betul’ yang akan mewujudkan tirani melalui perundangan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU-baru ini, dilaporkan bahawa seorang pengacara televisyen telah didakwa di Mahkamah Majistret Sibu kerana dikatakan menghina bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek.
  • RAMAI yang menjangkakan bahawa tidak lama lagi, Perdana Menteri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Apabila ini berlaku, dijangkakan semua Dewan Undangan Negeri di seluruh negara juga akan dibubarkan, melainkan Dun Sarawak yang melangsungkan pilihan rayanya pada tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.