PADA 22 Julai yang lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan dalam suatu ucapannya bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dimansuhkan.

Sekiranya kerajaan benar-benar memansuhkan akta ini, maka kerajaan akan menepati janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto mereka. Dalam Buku Harapan, PH telah berjanji untuk memansuhkan akta ini, bersama-sama dengan akta-akta zalim dan drakonian yang lain.

Sosma adalah undang-undang yang digubal untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan termasuklah kesalahan terorisme.

Sosma bukanlah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan. Seseorang itu tidak didakwa melakukan kesalahan di bawah Sosma. Ia adalah undang-undang yang memperuntukkan prosedur, kaedah keterangan dan kuasa pihak berkuasa apabila ia berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai ‘kesalahan keselamatan’.

‘Kesalahan keselamatan’ mengikut Sosma termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkenaan dengan kesalahan terhadap negara dan kesalahan berkaitan keganasan.

Apabila seseorang itu disiasat di bawah kesalahan-kesalahan ini, Sosma akan diguna pakai.

Sosma membenarkan seseorang itu ditahan selama 28 hari tanpa perbicaraan. Dalam tempoh tahanan ini, suspek tidak diberi akses kepada peguam dan selalunya dikenakan tekanan untuk mengaku salah.

Di samping itu, Sosma juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang bertentangan dengan kaedah-kaedah pembuktian (rules of evidence), yang telah menjadi tonggak sistem keadilan jenayah untuk sekian lama.

Sosma juga memperuntukkan bahawa sesiapa yang didakwa di bawah suatu kesalahan keselamatan, orang tersebut tidak boleh diikat jamin. Dia harus direman sehingga keputusan mahkamah. Seseorang yang didapati tidak bersalah juga boleh ditahan sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan.

Sosma memberi terlalu banyak kuasa kepada pihak berkuasa dan pendakwaan.

Semasa Sosma dibentangkan di Parlimen pada tahun 2012, Bar Malaysia dan masyarakat madani membangkitkan kebimbangan berkenaan dengan rang undang-undang tersebut.

Walaupun ia dipakej sebagai undang-undang menentang terrorisme, Bar Malaysia dan masyarakat madani pada ketika itu telah menyuarakan pendirian bahawa kesalahan ini mungkin digunakan untuk menyekat penentangan dan perbezaan pendapat. Sekiranya perlu digubal undang-undang, ia terhad kepada kegiatan-kegiatan yang melibatkan keganasan sahaja.

Tetapi Parlimen pada ketika itu tetap meluluskan Sosma dan undang-undang lain. Kerajaan memberi jaminan bahawa tidak seperti ISA, Sosma tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

Jaminan ini malangnya dimungkiri apabila Sosma digunakan ke atas individu seperti Datuk Seri Paduka Khairuddin Abu Hassan, Mathias Chang dan Maria Chin Abdullah sebelum ini.

Pada natijahnya Sosma adalah undang-undang yang tidak adil, arbitari dan mudah untuk disalah guna.

Tidak dinafikan bahawa ada keperluan untuk undang-undang khusus bagi kes-kes terrorisme, namun demikian apa-apa undang-undang yang digubal mestilah selari dengan piawai antarabangsa, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Kerajaan wajar mendapat maklum balas dan bantuan daripada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan juga pertubuhan masyarakat madani (civil society organisations) dalam menggubal apa-apa undang-undang baharu untuk menggantikan Sosma, jika perlu.

Namun apa yang pasti, undang-undang seperti Sosma tidak lagi mempunyai tempat di dalam Malaysia baharu ini, dan sudah tiba masanya ia dimansuhkan terus.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur