SETIAP tahun, di hujung tahun, saya akan menulis rencana untuk melihat semula peristiwa-peristiwa berkenaan dengan undang-undang pada tahun tersebut.

Namun kali ini, saya ingin fokus pada undang-undang yang telah digubal di Parlimen sahaja, kerana pada saya tahun 2015 merupakan tahun di mana Parlimen telah menggubal undang-undang yang menekan kebebasan asasi rakyat dan memberi kuasa yang luas kepada Kerajaan Persekutuan.

Undang-undang pertama yang diluluskan oleh Parlimen yang saya sentuh adalah pindaan terhadap Akta Hasutan. Umum mengetahui bahawa sebelum ini, kerajaan telah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan.

Namun demikian, kerajaan bukan sahaja gagal menepati janji ini, malahan telah menggunakan Akta Hasutan ini dengan jauh lebih kerap berbanding sebelum mereka membuat janji tersebut.

Pada awal tahun ini, kerajaan telah membentangkan pindaan-pindaan Akta Hasutan yang menjadikannya lebih teruk dan menekan berbanding dahulu.

Antaranya, mengambil budi bicara mahkamah dalam menentukan hukuman yang boleh dikenakan bagi seseorang yang disabitkan di bawah akta tersebut.

Sebelum ini, mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengenakan denda ataupun memenjarakan seseorang yang disabitkan dengan kesalahan hasutan. Tetapi dengan pindaan yang dibuat, mahkamah tidak lagi punya budi bicara, dan harus mengenakan hukuman penjara minimum tiga tahun.

Budi bicara mahkamah adalah penting kerana bukan semua kesalahan wajar dikenakan hukuman yang sama, terdapat pelbagai faktor yang harus diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Awal tahun ini juga, Parlimen meluluskan Akta Pencegahan Keganasan atau lebih dikenali sebagai ‘Pota’. Pota ini menghidupkan semula penahanan tanpa bicara yang sebelum ini wujud dengan adanya undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Dengan Pota, kerajaan dapat menghukum seseorang itu dengan menahan mereka tanpa perlu menghadapkan mereka ke mahkamah dan membicarakan kes mereka. Oleh itu, kerajaan telah memintas bidang kuasa mahkamah dan mereka punya kuasa untuk menghukum pesalah.

Lebih teruk lagi, apa-apa penahanan di bawah Pota tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, kecuali ia berkenaan dengan ketidakpatuhan prosedur.

Maka kita lihat, peranan mahkamah telah sama ada dikecilkan atau dipintas sama sekali dengan adanya kedua-dua undang-undang ini. Kerajaan telah mengambil kuasa yang sebelum ini dikhaskan kepada badan kehakiman.

Baru-baru ini pula, kita melihat Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang dibentangkan di Parlimen. Rang undang-undang ini pula secara natijahnya akan memberikan kuasa untuk mengisytiharkan darurat kepada Perdana Menteri.

Umum mengetahui bahawa kuasa untuk mengisytiharkan darurat ini terletak pada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tetapi dengan undang-undang ini kerajaan boleh langsung memintas YDPA dan diberi kuasa yang luas untuk, antaranya, menghalang keluar masuk orang dan kenderaan, menangkap tanpa waran, mengenakan perintah berkurung, mengambil hartanah dan harta tidak alih, menyita barang dan lain-lain kuasa.

Ia juga akan membolehkan seorang pengarah operasi, yang dilantik oleh kerajaan, untuk memberi arahan kepada anggota tentera, yang bertentangan dengan peruntukan bahawa pemimpin angkatan tentera adalah YDPA.

Maka selepas mengambil bidang kuasa mahkamah, diambil pula kuasa YDPA yang ada dalam Perlembagaan.

Undang-undang yang diluluskan ini juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang menafikan kebebasan asasi rakyat Malaysia yang termaktub dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya mana-mana individu berasakan hak mereka telah dicabuli atau dinafikan oleh undang-undang tersebut, malangnya ruang untuk mereka bawa ke mahkamah untuk mendapatkan remedi juga sempit atau langsung tidak ada, oleh kerana peruntukan-peruntukan dalam undang-undang itu sendiri.

Sebelum ini memang ada undang-undang lain yang menekan dan menafikan hak. Ada juga undang-undang sebelum ini yang melanggar struktur asas dan kerangka Perlembagaan Persekutuan kita.

Namun pada saya, dengan ketiga-tiga undang-undang ini, tahun 2015 akan diingati sebagai tahun yang begitu buruk bagi kebebasan asasi rakyat dan juga kedaulatan undang-undang.

Tahun 2015 akan terkenal sebagai tahun di mana Parlimen Malaysia menggubal undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur