PENGERUSI Bersih, Maria Chin Abdullah telah ditahan sehari sebelum perhimpunan Bersih 5. Beliau kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma. Dilaporkan juga bahawa Maria disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Menurut laporan, Maria dikurung dengan sendiri (solitary confinement), diasingkan dengan orang lain. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah melawat Maria di dalam tahanan, dan mendapati Maria diberikan katil kayu tanpa tilam serta tiada air panas. Suhakam juga melaporkan bahawa Maria memohon supaya dibekalkan dengan senaskhah al-Quran, bahan-bahan bacaan lain, tilam untuk mengurangkan ketidakselesaan tidur di atas katil yang tidak bertilam dan peluang berjumpa dengan anak-anaknya.

Banyak pihak mengecam penahanan Maria di bawah undang-undang Sosma. Mereka kata penahanan itu adalah suatu bentuk penyalahgunaan akta tersebut dan mendesak supaya Maria dibebaskan.

Perlu ditekankan bahawa Sosma bukanlah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan. Seseorang itu tidak didakwa melakukan kesalahan di bawah Sosma. Sosma adalah undang-undang yang memperuntukkan prosedur, kaedah keterangan dan kuasa pihak berkuasa apabila ia berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai ‘kesalahan keselamatan’.

 Sosma membenarkan seseorang itu ditahan selama 28 hari tanpa perbicaraan. ‘Kesalahan keselamatan’ mengikut Sosma termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Bahagian VI Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan-kesalahan terhadap negara. Antara kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah bahagian ini termasuklah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Seksyen 124C Kanun Keseksaan adalah kesalahan percubaan untuk melakukan aktiviti yang ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’, suatu kesalahan yang tidak ditakrifkan dengan terperinci. Tidak dinyatakan bagaimana Maria boleh dikatakan telah membuat kesalahan tersebut kerana perhimpunan Bersih 5 berlangsung dengan aman dan tanpa insiden.

Apabila seseorang itu disiasat di bawah kesalahan-kesalahan ini, Sosma akan diguna pakai. Sosma, antara lain, memperuntukkan bahawa sesiapa yang didakwa di bawah suatu kesalahan keselamatan orang tersebut tidak boleh diikat jamin. Dia harus direman sehingga keputusan mahkamah.

Di bawah Sosma terdapat prosedur dan kaedah-kaedah keterangan yang berbeza jika dibandingkan dengan bicara jenayah yang biasa.

Semasa Sosma dan Seksyen 124C dibentangkan di Parlimen pada tahun 2012, Bar Malaysia dan masyarakat madani membangkitkan kebimbangan berkenaan dengan rang undang-undang tersebut.

Walaupun ia dipakej sebagai undang-undang menentang terrorisme, kesalahan-kesalahan seperti ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’ melangkaui kesalahan-kesalahan berkenaan dengan terrorisme. Bar Malaysia, pada ketika itu telah menyuarakan pendirian bahawa kesalahan ini mungkin digunakan untuk menyekat penentangan dan perbezaan pendapat. Sekiranya perlu digubal undang-undang, ia terhad kepada kegiatan-kegiatan yang melibatkan keganasan sahaja.

Tetapi Parlimen pada ketika itu tetap meluluskan Sosma dan undang-undang lain. Kerajaan memberi jaminan bahawa tidak seperti ISA, Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

Jaminan yang sama diberikan semasa Akta Pencegahan Keganasan atau Pota dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibentangkan di Parlimen.

Semasa Sosma diluluskan, kebimbangan Bar Malaysia dan masyarakat madani tidak diendahkan. Dikatakan bahawa kami pro-pembangkang, tidak menyokong usaha untuk memerangi terrorisme dan tidak memikirkan keselamatan negara.

Malangnya, selepas 4 tahun Sosma diluluskan, kita telah melihat bagaimana Sosma telah digunakan atas sebab-sebab yang menimbulkan begitu banyak persoalan. Sebelum Maria, jangan lupa juga apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathias Chang juga ditahan di bawah Sosma kerana membuat laporan terhadap syarikat yang penuh kontroversi, 1MDB tahun lalu.

Oleh itu, Parlimen wajar mengkaji semula peruntukan-peruntukan Sosma dan Kanun Keseksaan untuk memastikan bahawa undang-undang ini tidak boleh digunakan dalam keadaan yang meragukan seperti berlaku kepada Maria Chin, Khairuddin dan Mathias.

*Syahredzan Johan merupakan seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur