PENGUMUMAN oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan meneliti dengan mendalam permintaan komuniti India-Muslim di Malaysia untuk diiktiraf sebagai Bumiputera telah menjadi bualan.

Ada berkata kononnya mengiktiraf sesuatu komuniti itu sebagai Bumiputera seperti menukar bangsa komuniti tersebut.

 Ini adalah suatu salah faham; tidak ada keperluan atau persoalan yang patut timbul tentang menukar bangsa, dalam soal ini.

Terma 'Bumiputera' tidak wujud dalam Perlembagaan, apabila merujuk kepada komuniti etnik di Semenanjung Malaysia. Bagi etnik di Sabah dan Sarawak, perkataan Bumiputera atau Peribumi ada digunakan. Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan etnik negeri-negeri tersebut yang diiktiraf sebagai Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kita juga tahu Perkara 153, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak. Kuota boleh dirizabkan bagi mereka dalam beberapa perkara seperti pendidikan, lesen dan permit serta perkhidmatan awam.

 ‘Melayu’ dalam Perlembagaan secara amnya adalah seseorang yang beragama Islam, lazim bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu.

Ini bermakna Orang Asli tidak diberi kedudukan istimewa di bawah Perkara 153 Perlembagaan, walaupun Perkara 8 membenarkan undang-undang istimewa digubal bagi Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

 Maka apabila Perdana Menteri menyatakan akan meneliti permintaan mengiktiraf India-Muslim sebagai Bumiputera, beliau tidak maksudkan Perkara 153.

Jika beliau merujuk perkara tersebut, maka Parlimen perlu meminda Perlembagaan untuk meluaskan takrifan Melayu atau skop Perkara 153. Ini memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan juga memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja, kerana ia melibatkan Perkara 153.

 Terma Bumiputera ini ada diguna pakai bagi undang-undang Persekutuan yang lain, selain Perlembagaan. Tetapi tidak ada takrifan undang-undang, atau legal definition untuk terma tersebut bagi komuniti etnik di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, terma Bumiputera ini bukannya suatu terma undang-undang, tetapi terma digunakan dalam menggubal atau melaksanakan dasar. Ia adalah suatu terma yang diguna pakai merangkumi pelbagai kumpulan seperti komuniti Melayu, Peribumi Sabah dan Sarawak dan juga Orang Asli, lebih lagi selepas wujudnya Dasar Ekonomi Baru.

 Terma ini juga dari segi penggunaannya telah dipanjangkan kepada komuniti etnik lain, bergantung kepada konteks dan dasar yang berkenaan. Ada juga sesetengah negeri yang mengiktiraf komuniti etnik selain daripada Melayu, Peribumi Sabah dan Sarawak serta Orang Asli sebagai Bumiputera.

Komuniti etnik Siam, Peranakan dan Portugis di Melaka juga ada membuat permintaan ataupun telah diiktiraf sebagai Bumiputera, sebagai contoh.

Oleh itu, permintaan oleh Federation of Malaysian Indian Muslim Associations (Permim) seperti yang disampaikan kepada Perdana Menteri bukanlah permintaan yang baru. Ia juga tidak memerlukan apa-apa pindaan undang-undang.

Permintaan mereka juga tidak boleh dikelirukan dengan mereka yang berketurunan India tetapi layak di bawah Perlembagaan untuk dikenali sebagai Melayu, sama seperti mereka yang berketurunan Bugis, Jawa, Arab, Turki dan sebagainya yang dikenali sebagai Melayu mengikut Perlembagaan.

Tidak timbul soal menukar bangsa. Permim sendiri tidak memohon untuk dikenal pasti sebagai Melayu, cuma diiktiraf sebagai Bumiputera.

Perbincangan matang berkenaan  isu ini wajar dibenarkan. Tetapi pada masa sama, kita perlu fahami perbezaan Melayu dan Bumiputera, serta   apa diperuntukkan dalam undang-undang.