KITA sudah tiba di penghujung tahun. Seperti tahun-tahun kebelakangan ini, 2014 tidak lekang dengan peristiwa yang menarik dan isu undang-undang yang berbangkit. Dan seperti biasa, penulis mengajak pembaca mengimbas kembali apa yang telah terjadi pada tahun ini dari aspek undang-undang.

2014 mungkin sekali akan kekal dalam ingatan sebagai tahun Akta Hasutan. Pada tahun ini, kita melihat peningkatan mendadak dalam penggunaan Akta Hasutan, dua tahun selepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan.

Pada tahun ini, ahli politik, aktivis, peguam dan pensyarah menjadi mangsa akta peninggalan British tersebut. Tahun ini juga kita dapat saksikan usaha untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menunaikan janji untuk memansuhkan akta dan pada masa sama, kita juga melihat tindakan balas mereka yang mahu mengekalkannya.

Akhir sekali, tahun ini juga kerajaan akhirnya mengambil keputusan untuk mengekalkan akta tersebut, bahkan dikatakan akan memperkasakannya.

2014 juga menyaksikan isu hudud berbangkit apabila Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan bahawa mereka mahu melaksanakan hudud di negeri tersebut.

Kita hangat berbincang mengenai isu hudud ini dari pelbagai aspek; termasuklah sama ada ia boleh dilaksanakan dalam kerangka perlembagaan yang sedia ada.

Walaupun mendapat tentangan hebat, kerajaan Kelantan masih terus dengan hasrat mereka untuk melaksanakan hudud di negeri tersebut dengan membentangkan rang undang-undang di Parlimen pada tahun hadapan bagi membolehkan mereka melaksanakan hudud.  

Krisis Menteri Besar Selangor juga memenuhi tajuk utama berita untuk sekian lama pada tahun 2014. Krisis ini pada asasnya adalah krisis politik dalaman Parti Keadilan Rakyat, tetapi terdapat begitu banyak isu undang-undang yang timbul akibatnya.

Antaranya, isu sama ada seorang menteri besar boleh terus memegang tampuk kuasa walaupun dipecat oleh parti, sama ada menteri besar masih boleh kekal pada kedudukannya selepas hilang sokongan majoriti, isu sama ada menteri besar boleh memecat ahli majlis kerajaan negeri dan juga isu siapakah yang patut dilantik sebagai menteri besar.

Isu-isu hangat dibincangkan dan diperdebat di media dan dalam kalangan rakyat, dan walaupun krisis sudah berakhir namun kesan krisis ini akan dirasai  masa hadapan.

2014 juga menyaksikan beberapa perbicaraan mahkamah yang mendapat perhatian ramai. Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan berlarutan selama lebih dari satu minggu. Setiap perkembangan dikemas kini secara langsung melalui media sosial, memberi dimensi baru dalam laporan dari mahkamah.

Permohonan kebenaran untuk merayu dalam kes Herald juga berlangsung pada tahun 2014 dan Mahkamah Persekutuan akhirnya membuat keputusan dengan majoriti 4-3 untuk menolak permohonan tersebut.

Maka keputusan Mahkamah Rayuan, yang antara lain memutuskan bahawa kalimah ALLAH itu eksklusif untuk umat Islam sahaja, buat masa ini adalah kedudukan undang-undang yang terpakai.

Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 juga telah memutuskan dua peruntukan undang-undang sebagai tidak mengikut Perlembagaan atau unconstitutional. Pertama, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak sah kerana unconstitutional.

Kesannya, kegagalan penganjur suatu perhimpunan aman untuk memberi notis 10 hari kepada polis tidak boleh didakwa di Mahkamah. Kedua, Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang menjadikan ia suatu kesalahan untuk seorang lelaki berpakaian seperti wanita sebagai unconstitutional, atas dasar bahawa ia melanggar hak-hak seorang yang menghidap penyakit ‘gender identity disorder’.

Ini hanyalah sebahagian daripada peristiwa menarik dalam tahun 2014 dari aspek perundangan. Mungkinkah 2015 menjadi lebih menarik? Baca ruangan ini tahun hadapan!


* Penulis adalah seorang peguam yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.