LEBIH kurang dua minggu lepas, dunia dikejutkan dengan berita mengenai serangan pengganas di Paris, Perancis. Serangan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di bandar tersebut. Lebih daripada 130 orang telah terkorban akibat serangan tersebut, dan ramai lagi yang cedera.

Serangan ini merupakan insiden yang paling teruk di Perancis sejak Perang Dunia Kedua dan juga serangan pengganas yang paling teruk di Eropah Barat sejak pengeboman kereta api di Madrid, Sepanyol pada tahun 2004 yang mengorbankan 191 nyawa.

Kumpulan Islamic State (IS) telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Paris. Mereka juga telah memberi amaran bahawa lokasi-lokasi lain juga akan menjadi sasaran pada masa hadapan.

Seperti biasa, apabila serangan pengganas yang menggunakan nama Islam berlaku, umat Islam terpaksa menunjukkan dengan terang bahawa mereka tidak menyokong keganasan yang dilakukan. Kononnya sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, mereka dianggap menyokong keganasan.

Maka kita lihat di media sosial Muslim biasa menggunakan hashtag #notinmyname dan sebagainya untuk mengecam kejadian di Paris. Malahan beberapa organisasi Islam di United Kingdom terpanggil untuk menyiarkan iklan di akhbar mengutuk serangan di Paris.

Orang Islam tidak boleh lari daripada realiti bahawa mereka yang melakukan keganasan sedang menggunakan nama agama bagi menjustifikasikan apa yang mereka lakukan. Orang Islam tidak boleh lari daripada realiti bahawa Islamophobia akan menular dengan insiden-insiden seperti ini.

Akhirnya, insiden keganasan seperti yang berlaku di Paris dan di tempat-tempat lain sebenarnya akan membawa impak yang besar ke atas orang Islam sendiri, terutama sekali mereka yang tinggal di negara-negara Barat. Insiden-insiden ke atas orang Islam di negara-negara Barat semakin meningkat akhir-akhir ini.

Serangan di Paris juga akan membawa impak kepada pelarian Syria yang melarikan diri dari negara mereka atas sebab konflik yang berpanjangan di sana. Sebelum ini, banyak negara Barat telah memberi komitmen untuk membawa mereka masuk, tetapi selepas serangan di Paris, negara-negara tersebut menghadapi tekanan daripada rakyat mereka sendiri untuk menyekat atau berhenti mengambil masuk pelarian Syria.

Adakah ini sebenarnya apa yang IS mahukan? Supaya Barat melihat Islam secara negatif, meningkatkan sentimen anti-Islam dan menyekat kemasukan pelarian Syria? Adakah ini akan dapat memperkukuhkan lagi retorik IS?

Serangan ini juga menguatkan lagi mereka di negara Barat yang anti-Islam. Inilah peluang mereka untuk mengambil kesempatan ke atas perasaan takut dan gelisah orang ramai bagi tujuan mereka. Di Amerika Syarikat, calon presiden terutama daripada parti Republikan sedang berlumba-lumba untuk mendapat sokongan dengan retorik anti-Islam, seperti Donald Trump yang mahu memperkenalkan kad pengenalan hanya untuk orang Islam dan mahu mengawal masjid-masjid di Amerika Syarikat.

Mudah untuk kita mengutarakan teori konspirasi bahawa IS ini boneka Amerika Syarikat atau bahawa serangan di Paris adalah suatu yang dirancang oleh kerajaan Perancis sendiri, contohnya. Tetapi melainkan terdapat bukti sahih untuk menyokong teori-teori ini, apa yang ada cuma pengakuan daripada IS sendiri bahawa merekalah yang bertanggungjawab.

Kumpulan IS dan sekutu mereka bukan hanya melakukan keganasan di negara-negara Barat, tetapi juga di negara-negara yang majoritinya Muslim. Selepas serangan di Paris sahaja, IS atau sekutu mereka telah melakukan serangan di sebuah hotel di Mali dan ke atas sebuah bas di Tunisia.

Tetapi apa yang membimbangkan adalah walaupun jelas bahawa mangsa terbesar keganasan IS adalah umat Islam, masih terdapat orang yang menyokong mereka.

Ini adalah cabaran yang amat besar buat umat Islam. Bagaimana menangani mereka yang mengganas atas nama agama dan bagaimana menangani Islamophobia yang makin menggila.


* Penulis ialah peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur